Apabila ditanya, tempat manakah yang paling seronok untuk dilawati? paling menggembirakan hati? paling tenang? Sudah tentu saya akan jawab; menziarahi Kota Makkah dan Madinah. Sebagaimana kita tahu, kedua-dua kota ini merupakan kota paling suci bagi umat Islam di samping Masjid al-Aqsa yang terletak di kota Baitul Maqdis. Di Makkah dan Madinah, terdapat sejarahnya tersendiri yang penting bagi umat Islam. Disinilah kisah Siti Hajar dan Nabi Ismail, kisah pembinaan ka'bah oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail, dan kisah yang paling dekat dengan hati kita iaitu kisah kehidupan junjungan besar yang dikasihi, baginda Rasulullah SAW. Apabila kita membaca kisah-kisah Rasulullah SAW di dalam kitab-kitab sirah mahupun membaca hadith-hadith baginda, pasti ia banyak mengaitkan ketika Rasulullah SAW melalui kehidupan bersama para sahabatnya di kota-kota ini dan kawasan-kawasan sekitarnya. Kedua-dua kota suci kini terletak di negara Arab Saudi.
Alhamdulillah,
sepanjang saya menuntut ilmu di Jordan, Allah telah memberi kesempatan dan
peluang kepada saya dan juga sahabat-sahabat yang lain untuk pergi menunaikan
umrah di Makkah dan menziarahi kota Madinah.Di samping itu, kami juga
melawat tempat-tempat bersejarah di sekitar kota Makkah dan Kota Madinah.
Sepanjang belajar, Alhamdulillah saya berkesempatan menunaikan umrah sebanyak 3
kali iaitu pada waktu musim sejuk bulan 1 tahun 2014, kemudian di bulan Ramadhan
pada tahun 2016 dan juga tahun 2017. Saya mengambil peluang untuk pergi
menunaikan umrah ini dari Jordan kerana kos yang sangat murah jika hendak
dibandingkan datang dari Malaysia.
Sesungguhnya,
tiada tempat yang saya ingin terus melawati dan meningkatkan amal kebaikan
melainkan saya ingin pergi lagi ke Makkah dan Madinah pada masa akan datang. Saat
pergi menunaikan umrah, saya merasai ketenangan dan kegembiraan. Apatah lagi
melakukan amal ibadat di sana digandakan dengan banyak ganjaran disisi Allah.
Berjuta-juta orang islam yang datang dari seluruh pelosok dunia yang datang
menunaikan ibadah umrah dan juga haji. Saya berharap dan berdoa, impian
saya pada suatu hari nanti saya ingin membawa emak dan ayah saya pergi ke sini
dan juga ingin pergi bersama isteri dan anak-anak saya pada suatu hari
nanti apabila saya sudah berkeluarga nanti, insyaAllah. Semoga Allah kabulkan
permintaan dan doa saya ini dan juga doa kita semua yang berhajat untuk ke
tempat ini. Amiin Ya Rabbal Alamin.
Berikut
sedikit gambar-gambar yang saya ingin kongsikan di dalam ruangan ini
sepanjang 3 kali saya pergi menunaikan umrah bersama sahabat-sahabat
sepengajian dari Jordan.