PAUSE HERE

Friday, September 6, 2019

Musafir 12: Permusafiran Ke Negara Yaman


         Negara Yaman merupakan sebuah negara yang terletak di jazirah arab dan merupakan negara yang terawal menerima islam ketika zaman Nabi SAW. Ini dibuktikan apabila baginda SAW mengutus sahabatnya iaitu Saidina Mua'z Bin Jabal untuk menyampaikan dakwah Islam di sana.

Permusafiran saya ke Negara Yaman adalah tidak dijangka. Sebaliknya saya diajak oleh senior Usul fiqh saya iaitu Ustaz Ahmad Izuddin Bin Zubit untuk menziarahi di sana dan bertalaqqi kitab. Pada masa yang sama, saya tidak tahu apakah aktiviti yang perlu dilakukan sempena cuti di bulan soifi selama sebulan lebih. Jadi menziarahi di bumi Yaman merupakan salah satu cara untuk saya mengisi masa cuti. Alhamdulillah tanggal  2 ogos 2013, saya dan abang Izuddin  bertolak ke Yaman dengan menaiki flight Royal Jordanian. Harga tambang pergi dan balik bagi laluan Amman, Jordan - Sanaa', Yaman adalah sebanyak  JD 314.00 bersamaan lebih kurang RM 1400.00 ketika itu.

Di Yaman, saya tinggal di sana selama sebulan lebih dan sampai di airport Sanaa', Yaman pada waktu pagi. Sungguh berbeza keadan di Yaman berbanding  Jordan dan Malaysia. Lihat keadan fizikal airportnya sahaja cukup Dhaif. Saya percaya, saya perlu  mengembara  ke tempat-tempat di Yaman bagi mengetahui kelebihan dan kekurangan negara ini serta mengambil ibrah di sana.





Kemudian sampai di airport  Sanaa' juga, saya dan abang Izuddin telah ditunggu oleh junior abang izuddin di airport. Mereka adalah pelajar yang belajar di Darul Mustafa di Hadramaut dibawah kelolaan para habib. Saya tinggal di Sanaa' selama tiga hari. Kemudian malam ketiga, saya betolak ke Hadramaut dengan menaiki bas dengan tambang lebih kurang 4000-5000 riyal. Hadramaut merupakan sebuah daerah dan pusat pertemuan masyarakat yang terletak jauh dari Sanaa'. Perjalanan ke Hadramaut dengan menaiki bas selama  lebih kurang 12 jam. Ia adalah tempoh yang paling lama  bagi saya untuk pertama kali menaiki bas bagi menempuhi perjalanan yang jauh. Sebelum ini, pengalaman menaiki bas dengan tempoh yang lama iaitu lebih 8/9 jam. Itu bas di Malaysia yang lebih selesa dan baik. Tetapi situasi berbeza di Yaman dengan keadaan bas yang tidak baik kondisinya.

Alhamdulillh di pagi ramadhan, saya, abang Izuddin dan Najmi selamat sampai di Hadramaut. Cuaca di Hadramaut sangat panas berbanding cuaca di Sanaa'. Cuaca ketika waktu pagi di Hadramaut sudah terasa bahangnya. Begitu juga di waktu malam. Apatah lagi waktu tengah hari terasa sangat panas. Namun, itulah ujian yang saya dan kawan-kawan perlu tempuhi. Di Hadramaut, banyak perkara manfaat yang dapat kita boleh lakukan. Saya suka tempat tersebut. Di sini terdapatnya pelbagai institusi pengajian ilmu berasaskan seperti pondok yang telah dibina  berpuluh-puluh tahun dahulu. Di sini juga terdapat ramai para habib yang mereka ini berketurunan Rasulullah SAW yang tinggi ilmunya dan baik akhlak mereka.

Saya memilih untuk belajar di Darul Mustafa. Tempat pendidikan di bawah seliaan Habib Umar. Terdapat pelbagai pelajar yang belajar di tempat ini yang datang daripada pelbagai negara khususnya dari bumi nusantara. Setiap tahun pasti ada kedatangan pelajar baru yang ingin belajar di tempat ini. Tidak terlepas juga kedatangan para pelajar dari Malaysia. Di Darul Mustafa, saya belajar dan makan di sini dan tempat tinggal di tempat lain. Saya, abang Izuddin dan Najmi menginap di rumah persatuan pelajar Malaysia Yaman( PEMAYA).


Seronoknya tinggal di Tarim adalah terasanya roh dan semangat untuk melakukan kebaikan dan ibadat serta dapat mentarbiah diri dengan akhlak yang baik. Kawasan Tarim bebas daripada kegiatan maksiat terutamanya maksiat mata. Disana kita akan  dapati wanita-wanita sangat kurang dilihat di luar-luar rumah atau di perjalanan. Mereka (wanita) hanya keluar rumah pada waktu petang kebanyakannya. Di Darul Mustafa pula, saya, abang Izuddin, dan Najmi berpeluang bertemu dan bersalam dengan Habib Umar. Habib Umar adalah merupakan antara habib yang sering mendapat jemputan dalam program-program di luar negara Yaman. Habib Umar juga terkenal di kalangan rakyat Malaysia dan Indonesia terutamanya golongan pelajar-pelajar pondok.

Selain itu, selama  berada di Tarim, saya juga berkesempatan menziarahi maqam para sahabat Rasulullah SAW, para wali, dan makam para habaib. Saya juga berkesempatan menziarahi para habaib yang telah lanjut usia mereka yang mana mereka ini adalah penyebar-penyebar dakwah dan ilmu di tanah Tarim. Alhamdulillah 'ala kulli hal, saya rasa sangat seronok permusafiran ini. Saya dan teman-teman lain  juga berpeluang memohon ijazah ilmu daripada mereka serta doa kerana mereka adalah antara golongan yang dekat dengan Allah SWT.


Seterusnya saya dan sahabat-sahabat permusafiran  juga dibawa untuk menziarahi maqam Nabi Hud AS. MasyaAllah, kalau dilihat maqam tersebut sangat panjang dan besar. Yang pastinya bentuk fizikal umat terdahulu lebih besar berbanding umat Nabi Muhammad SAW hari ini. Di depan Darul Mustafa pula, terdapat banyak kedai kitab-kitab. Ini tempat yang saya suka singgah dan singgah dalam tempoh yang lama kerana minat saya kepada buku dan kitab. Saya juga tidak kisah jika wang dihabiskan banyak membeli buku atau kitab. Di sana saya telah membeli banyak kitab  sebanyak satu kotak dengan pelbagai jeis tajuk  yang sebahagian besarnya cetakan negara Yaman dan penulis-penulisnya dari Yaman.




Sudah dimaklumi, negara Yaman terutamanya di wilayah Tarim tidak kering dengan ilmu pengetahuan. Di sana juga tidak tandus dengan para alim ulama. Jika pergi di sana, kita akan menyaksikan banyaknya pusat ilmu dan ramainya para ulama. Jika seorang ulama telah pergi, lahir pula kalangan ulama yang lain. Alhamdulillah itulah kurniaan Allah di negara Yaman. Negara yang dilihat pada pandangan zahir negara yang miskin, tetapi negara ini juga menyaksikan munculnya pelbagai ilmu pengetahuan terutamanya  perkembangan ilmu dalam bidang Fiqh, dan bidang-bidang ilmu yang lain. Di sini juga terdapat pelbagai pusat pengajian  yang sentiasa hidup dan pelbagai peringkat. Di Darul Mustafa pula, setiap tahun akan diadakan daurah yang terbuka kepada semua lapisan umur dari pelbagai negara yang ingin menyertai daurah ilmu tersebut.Di samping itu, kami juga meraikan hari raya aidil fitri di sini dan hari raya pertama untuk saya di perantauan.

Setelah berkampung selama sebulan di Tarim, Hadramau, saya dan Najmi telah pulang semula di ibu negara Yaman, Sanaa' dengan menaiki bas. Sebelum itu, abang Izuddin telah pulang dahulu kerana mempunyai komitmen bersama persatuan ketika program sambutan pelajat baru.


Sepanjang perjalanan, beberapa kali kami ditahan oleh askar-askar Yaman yang mengawal di jalan. Alhamdulillah semuanya selamat dan berjalan lancar perjalanan kami. Di Sanaa' pula terdapatnya juga perkembangan ilmu. Kebanyakannya berasasakan universiti dan universiti-universiti di sini menawarkan pengajian secara percuma kepad para pelajar. Di sini juga terdapat ramai pelajar Malaysia yang menuntut ilmu. Selama 3 hari saya dan Najmi berada di Sanaa' dengan menumpang tidur di rumah pelajar - pelajar Malaysia.


Jam 2.00 pagi, saya bertolak balik ke Jordan bersama Najmi. Tidak ketinggalan, sempena permusafiran saya di Yaman, saya telah bertemu dua orang kenalan saya di sekolah lama (Darul Fuqaha ) iaitu sahabat saya Amiruddin Alfarouq dan juga saudara Ulya. Banyak sebenarnya kenangan dan pengalaman ketika berada di Yaman yang saya fikir bermanfaat untuk saya dan para pembaca dan saya tidak mampu untuk coretkan di sini

Alhamdulillah, saya berazam untuk ziarah ke Yaman sekali lagi jika ada rezeki dan kelapangan waktu. Kali ini saya ingin membawa naskhah buku terjemahan yang dikarang oleh seorang Doktor di Universiti Hadramaut. Beliau telah  memberi izin kepada saya untuk  menterjemah buku-buku penulisan beliau. Cuma setakat ini tidak bermula lagi terjemahan buku-buku beliau. Semoga Allah permudahkan urusan saya dan juga para pembaca seklian.

Setakat ini sahaja coretan saya berkenaan permusafiran saya dan sahabat-sahabat yang lain yang mampu saya kongsikan. Semoga ia bermanfaat dan semoga Allah meredhai kita sebagai hambaNYA dan menerima setiap amal ibadah yang kita lakukan dalam kehidupan ini. Semoga saya dan para pembaca dapat menjejakkan kaki ke negara Yaman suatu masa nanti. InsyaAllah.











4 comments:

  1. Mohon hubungi mcik segera 0124231696

    ReplyDelete
  2. Saya merancang untuk mendalami ilmu di yaman... boleh beri khidmat nasihat

    ReplyDelete
    Replies
    1. Mohon tunjuk ajar utk sy berhijrah ke yaman..

      Delete
  3. 01110987167 mohon bantu sy utk mendalami ilmu agama.

    ReplyDelete

Musafir 1: Kembara Ilmu Ke Jordan

Kembara ilmu saya ke Jordan bermula selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia  (SPM) pada akhir tahun 2011.Kemudian, saya telah di...