PAUSE HERE

Sunday, November 10, 2019

Musafir 2: Belajar di Markaz Luqhah (Pusat Bahasa)

      Pertengahan bulan september telah bermulanya semester baru bagi pelajar-pelajar baru kemasukan tahun 2012. Ia juga adalah semester pertama untuk saya  dalam kembara menuntut ilmu di Jordan ini. Semester pertama ini menyaksikan kebanyakan pelajar-pelajar baru termasuk saya perlu mengambil Markaz Lughah (Pusat bahasa) di dalam Universiti Yarmouk. Sebelum kami dikehendaki masuk Markaz Lughah, di sini terdapat ujian untuk melihat keputusan seseorang samada perlu memasuki ke Markaz Lughah ataupun tidak. Kebanyakan kawan-kawan sepengajian dengan saya perlu mengambil Markaz Lughah. Terdapat juga kawan-kawan saya yang lulus di dalam ujian dan tidak perlu untuk mengambil Markaz Lughah. Terdapat juga kawan-kawan saya yang lulus dalam ujian tersebut dan mereka mengambil Markaz Lughah di luar universiti.

Markaz Lughah atau Pusat Bahasa merupakan tempat untuk mempelajari bahasa arab dalam membentuk pelajar-pelajar supaya dapat memahirkan diri dalam berbahasa arab samada dalam aspek percakapan, penulisan, kemahiran dan lain-lain. Ia adalah wajib bagi pelajar-pelajar tahun satu bagi pelajar-pelajar asing selain pelajar-pelajar Jordan yang baru masuk dalam memulakan pengajian di Universiti Yarmouk. Ia juga sebagai persediaan bagi seseorang pelajar agar mahir dalam bahasa arab bagi menempuh pengajian dalam kuliah-kuliah pada semester akan datang. Di tempat ini, kita akan diajar tentang kemahiran untuk berbahasa arab dari sudut kemahiran pembacaan, perbualan, qawaed, penulisan dan kemahiran mendengar.

Bahasa arab juga menyaksikan kejayaan penyebaran islam di serata dunia sehingga Islam dapat kekal sehingga kini. Bahasa ini juga menjadi komunikasi terpenting di mana-mana jua dan tidak mengira lapisan masyarakat yang mempelajarinya samada kaum Melayu, Cina, Korea, Hindu, Turki dan sebagainya. Bagi pelajar-pelajar Islam yang bergama Islam dan khususnya yang bertakhasus Syariah Islamiyyah, menjadi kewajipan untuk mempelajari dan menguasai bahasa arab dalam memahami kalam-kalam daripada kitab al-Quran dan As-sunnah. Ini juga pesanan oleh para ilmuan dan doktor-doktor di kuliah syariah,Universiti Yarmouk.
Bahasa arab merupakan bahasa yang terawal ketika kemunculan tamadun manusia di muka bumi. Bahasa arab merupakan bahasa yang sangat unik kerana setiap hurufnya mempunyai keistimewaan dan mukjizatnya tersendiri dan kaya dengan pelbagai perkataan. Bahasa arab juga menyaksikan kemunculan rasul yang terakhir iaitu Nabi Muhammad SAW yang diutuskan oleh Allah SWTdaripada kalangan bangsa arab dalam menyampaikan risalah tauhid kepada umatnya. Kerana itu, al-Quran diturunkan di dalam bahasa arab sehingga tidak dapat ditandingi oleh penyair-penyair terkemuka pada zaman Mekah ketika penyebaran awal Islam kerana kekuatan bahasanya dan merupakan mukjizat yang terkandung kalimah dalam bahasa arab sendiri. Terdapat ayat al-Quran yang menyebut tentang diturunkan ayat-ayat al-Quran di dalam bahasa arab. Begitu juga di dalam hadis yang disebut oleh baginda SAW. Firman Allah SWT :  
انا أنزلناه قرآنا عربيا لعلكم تعقلون

Ertinya : " Sesungguhnya Kami menurunkan kitab itu sebagai Quran yang dibaca dengan bahasa arab,supaya kamu ( menggunakan akal untuk ) memahaminya " ( Surah Yusof ayat 2 )

Sepanjang berada di Markaz Lughah sepanjang satu semester dari bulan 9 sehingga bulan , banyak manfaat yang saya perolehi hasil mengikut Markaz Lughah ini. Di sini kami dibahagikan kelas mengikut mustawa atau peringkat masing-masing. Saya telah ditempatkan dalam  kelas mustawa 3ب . Di sini saya telah  mempelajari  subjek qiraah, qawaed, muhadasah, kitabah dan istima'. Setiap hari topik pelajarannya berbeza mengikut subjek yang telah ditetapkan oleh pihak Markaz Lughah. Antara guru-guru saya dan kawan-kawan saya di Markaz Lughah ialah Doktor Salim yang telah mengajar kami subjek muhadasah dan qawaed. Doktor Salim merupakan seorang guru yang baik dan seorang yang berjenaka dengan kami. Doktor juga merupakan seorang yang prihatin dan bertanggungjawab.









Selain itu, guru yang mengajar saya dan kawan-kawan sekelas juga ialah Doktor Samah yang telah mengajar kami subjek qiraah dan kitabah. Peribadi Doktor Samah lebih kurang dengan Doktor Salim. Beliau juga seorang yang berpewatakan tegas. Namun ia baik untuk saya dan kawan-kawan sekelas. Guru lain yang telah mengajar saya dan kawan-kawan yang lain ialah Doktor Hanin yang mengajar kami subjek istima'. Doktor Hanin merupakan seorang doktor yang baik, prihain,mesra dengan pelajar-pelajar, dan baik hati.




Disamping saya belajar di Markaz Lughah, pada masa yang sama saya juga mengambil subjek Kuliah Syariah di univerisiti. Pada semester pertama ini saya hanya mengambil satu subjek sahaja iaitu subjek "ulum al-Quran" yang telah diajar oleh Doktor Mansour. Beliau merupakan Doktor Qisim Usuluddin dan seorang doktor yang baik, suaranya lantang ketika mengajar kami dan antara doktor yang suka berjenaka dengan para pelajarnya. Di Markaz Lughah, saya juga memperolehi kawan-kawan baru. Mereka ini adalah kawan sepengajian dengan saya dan saya juga dapat berkenalan sesama mereka disamping menuntut ilmu di Markaz Lughah dan  di Kuliah Syariah. Alhamdulillah, banyak pengalaman baru yang saya perolehi sepanjang menuntut ilmu pada semester pertama ini. Terima kasih dan ucapan jazakumullahu kheir kepada guru-guru yang telah mengajar saya ketika semester pertama iaitu Dr Salim, Dr Samah,Dr Hanin di Markaz Lughah dan juga Dr Mansour di Kuliah Syariah. Semoga Allah membalas kebaikan dan sebaik baik ganjaran di sisiNYA kepada guru-guru saya yang telah mengajar saya ketika berada pada semester pertama ini.

No comments:

Post a Comment

Musafir 1: Kembara Ilmu Ke Jordan

Kembara ilmu saya ke Jordan bermula selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia  (SPM) pada akhir tahun 2011.Kemudian, saya telah di...