KEHIDUPAN
Kehidupan adalah sebuah pengembaraan dan perjalanan iaitu perjalanan daripada
Allah dan kembali kepada Allah. Kita hidup, kemudian kita akan mati, kemudian
kita akan dibangkitkan semula untuk kehidupan yang kekal selama-lamanya di
akhirat nanti. Kita semua menempuhi fasa alam yang sama dalam
pengembaraan ini. Fasa alam roh dan alam rahim telah kita lalui. Kini kita
melalui fasa kehidupan di alam dunia dan semestinya kita akan mati selepas ini.
Kita akan menempuhi alam barzakh dan juga alam akhirat yang pasti akan terjadi
dan akan dilalui oleh setiap daripada kita.
Dunia adalah tempat ujian. Dunia adalah tempat persinggahan sementara sebelum hari akhirat. Di dunia ini, manusia terdiri daripada pelbagai bangsa, warna kulit, bahasa dan sebagainya. Tujuannya adalah untuk kita saling kenal mengenal antara satu sama lain. Dalam pentas kehidupan dunia ini juga, kita melihat watak manusia yang pelbagai. Umumnya watak manusia itu ada yang baik dan tidak baik. Ada yang kaya dan yang miskin. Ada yang senang dan yang susah. Ada yang bahagia dan yang sengsara. Malah kita akan melihat pelbagai watak lain-lain lagi di pentas kehidupan dunia ini. Sehingga dengan watak-watak tersebut, terdapat manusia yang bermaharajalela melakukan kezaliman terhadap sesama manusia lain. Ada manusia yang menjadikan seolah-olah dunia ini miliknya dan boleh bertindak sesuka hatinya.ada juga manusia dipuji dan disanjung kerana kedudukan,kekuasaan dan kekayaannya dan begitulah sebaliknya. Itulah hakikat kehidupan dunia yang kita lihat pada hari ini.
Islam
meletak kemuliaan seseorang bukan pada kekayaan, pangkat dan jawatan, mahupun
keturunan yang dimilikinya. Tetapi Islam meletak kemuliaan seseorang kepada
darjat "takwa". Ini dikhabarkan oleh Allah SWT di dalam surah
al-hujurat ayat 13 " Sesungguhnya orang yang paling mulia disisi Allah
ialah orang -orang yang bertakwa".Bagi seorang mukmin yang beriman kepada
Allah dan yakin adanya harinya akhirat, mereka akan melihat dunia ini hanyalah
tempat ujian dan tempat sementara. Mereka menjadikan dunia ini sebagai ladang
untuk melakukan amalan kebaikan dan sebagai bekalan untuk hari akhirat. Setiap
waktu dan umur, mereka akan gunakan untuk kebaikan dan menambah ganjaran
pahala. Apabila mereka melakukan kejahatan, mereka segera memohon ampun kepada
Allah SWT. Apabila mereka melakukan kebaikan,hati mereka merasa gembira serta
kehidupan mereka sentiasa tenang dan bahagia. Semoga Allah memasukan kita dalam
kalangan hamba-hambaNYA yang beriman dan diredhai olehNYA.
ALAM SEMESTA
Banyak cara kita untuk mengenal dan mencintai Allah.
Antaranya adalah dengan melihat dan mentadabburi alam ini. Banyak ayat
al-Quran menyebut tentang pencipataan alam. Pencipataan langit, bumi, bulan,
bintang, laut, matahari dan lain -lain lagi. Kesemuanya mempunyai keunikan dan
hikmahnya tersendiri. Tidaklah alam ini diciptakan melainkan daripada Pencipta
kita yang Maha Berkuasa iaitu Allah SWT.
Saya suka melihat alam dan pemandangan. Jika ada gambar-gambar yang cantik yang saya temui di media-media sosial, saya akan simpan. Permusafiran saya ke negara Turkey dan Balkan ada banyak sebab. Antara sebabnya juga ada rakan-rakan yang memberitahu saya bahawa pemandangan alam di negara-negara Balkan sangat cantik. Mungkin tiga orang lagi rakan saya yang kami sama-sama turut bermusafir mempunyai matlamat dan objektifnya tersendiri. Maka bermulalah perancangan kami untuk musafir ke negara Turkey dan Balkan.
Permusafiran saya bersama tiga orang lagi rakan saya ke negara Turkey dan Balkan pada akhir bulan satu selepas tamat imtihan nihai semester satu. Teman saya musafir kali ini iaitu Alif, Hakim, dan Muhaimin. Kami telah musafir ke negara Turkey dan 7 buah negara Balkan iaitu Bosnia, Croatia, Montenegro, Kosovo, Albania, Macedonia, & Bulgaria. Pada mulanya saya bersama Alif ingin bermusafir ke negara Turkey sahaja. Namun selepas kami berfikir semula, kami merancang untuk musafir ke beberapa buah negara Balkan sekali kerana negara-negara tersebut berdekatan dengan negara Turkey. Kami telah bermusafir selama 16 hari iaitu bermula 21/1/2016 - 5/2/2016. Kami telah pergi balad sama-sama untuk membeli tiket flight. Bagi menjadikan permusafiran ini lebih bermakna dan bermanfaat buat kami, pembahagian tugas dan gerak kerja telah dilakukan. Alif ditugaskan untuk survey kos penginapan dan pengangkutan bagi negara-negara yang akan kami lawati. Muhaimin dan Hakim ditugaskan untuk menyediakan makanan-makanan asas untuk makanan sampingan dan masakan di negara-negara yang boleh kami masak bagi menjimatkan kos. Saya pula ditugasakan untuk membuat catatan dalam handout untuk kembara kami ini. Handout tersebut mengandungi jadual perjalanan, anggaran kos pengangkutan, dan senarai tempat-tempat yang boleh dilawati di negara Turkey dan Balkan.
Sepanjang kembara ini, saya juga menjadi cameraman. Jadi gambar-gambar saya tidaklah banyak berbanding tiga orang rakan saya tersebut. Sebahagian pengalaman dalam kembara ini telah saya kongsikan dalam ruangan blog ini. Semoga bermanfaat buat pembaca-pembaca sekalian.
IRBID-AQABAH,JORDAN
Saya bersama Alif, Muhaimin, dan Hakim telah bertolak dari Mujamma' Amman
selepas waktu asar. Kami menaiki bas jet untu ke Aqabah dengan harga seorang 10
JD. Kami sampai di Aqabah pada waktu malam ketika hampir jam 10.30 P.M. Kami
bertolak dari airport Aqabah untuk ke Istanbul pada jam 3.55 A.M. Walaupun
beberapa kali telah pergi ke Aqabah sebelum ini, namun inilah pertama kali saya
menjejak kaki ke airport Aqabah. Dalam perjalanan ke Istanbul,Turkey, bukan
sahaja group kami untuk ke sana, tetapi perjalanan ke Istanbul juga disertai
oleh ramai kenalan dari Ibid terdiri daripada syabab dan akhowat dan juga
pelajar Yarmouk serta pelajar Just.
ISTANBUL,TURKEY
Alhamdulillah, kami selamat sampai di Airport Istanbul pada jam 7.30 A.M hari
jumaat. Cuaca di luar sangat sejuk kerana kami mengembara ini dalam suasana
musim sejuk. Sungguh teruja apabila dapat menjejakkan kaki ke bumi Turkey yang
menjadi pusat pemerintahan islam suatu ketika dahulu. Selepas keluar daripada
airport, destinasi pertama saya dan tiga lagi rakan pergi ialah Masjid Biru.
Kami pergi dengan menaiki train dan turun ke stesen Sultan Ahmed. Untuk sampai
ke stesen Sultan Ahmed perlu menukar satu lagi train dan perjalanan ini
mengambil masa hampir satu jam untuk sampai ke stesen Sultan Ahmed dari Airport
Istanbul. Harga tiket pengangkutan train adalah berbeza. Kami menggunakan kad
yang boleh ditopup dan dikongsi seramai 4 orang untuk bayaran train di Turkey.
Menyorot sejarah Istanbul, sepertimana yang kita tahu, Istanbul atau Constantinople namanya satu ketika dahulu terbahagi kepada dua bahagian, satu sebelah Eropah. Sementara satu lagi sebelah Asia yang dahulunya dikenali sebagai Anatolia ataupun Asia Minar. Kota ini terletak antara dua laut iaitu laut Hitam dan laut Marmara di samping selat Bosphorus. Istanbul yang begitu bersejarah ini pernah menjadi ibu kota kepada 3 buah empayar yang berbeza:
1)Empayar Rom (330-395)
2)Empayar Rom Timur (395-1453)
3)Empayar Uthmaniah (1453-1923)
Pada tahun 1453M, Sultan
Muhammad Al-Fateh berjaya membuka kota ini bersama para tenteranya selepas 800
tahun percubaan. Kini kota Istanbul antara merupakan kota yang menjadi
tumpuan pelancong dari seluruh dunia dan banyak meninggalkan sejarah yang
boleh kita tatap pada hari ini.
Saya jatuh cinta dengan kota ini. Di sini terdapat banyak tempat
sejarah dan pemandangan yang sangat cantik. Di sini juga hati saya
tertarik dan berangan -angan untuk tinggal di kota ini. Hati saya tidak mampu
mengungkapkan dan menterjemah perasaan yang menyelubungi diri ini ketika
melawat kota Istanbul. Di Kota Istanbul, kami telah tinggal selama 4 hari. Dua
hari sebelum berlepas ke Bosnia dan dua hari selepas melawat Bulgaria. Kami
telah menyewa hostel yang berdekatan dengan Masjid Biru dengan harga 9 EUR
seorang. Sepanjang berada di Istanbul, kami telah melawat beberapa tempat
menarik. Antaranya Masjid Biru, Aya Sofia, Grand Bazar, Istana Topkapi, Galata
Tower, Maqam Sultan Muhammad al Fateh, Maqam Abu Ayyub al-Ansari, Panaroma
1453, Time Square dan Stadium Galatasary. Terdapat juga tempat yang tidak
sempat kami melawat.
Satu keistimewaan di Turkey juga ialah perkembangan agama Islam di sini.
Kebanyakan rakyat Turkey adalah beragama Islam dan di sini juga terdapat banyak
masjid. Semua masjid yang dibina adalah sama pada rekaan bentuknya yang
melambangkan keunikan masjid negara Turkey. Sejujurnya saya rasa bangga melihat
Islam berdiri gah di sana pada sebuah negara yang terletak dalam benua eropah.
SARAJEVO & MOSTAR,BOSNIA & HERZEGOVINA
3.30 petang hari
sabtu pada 23/1, kami meninggalkan hotel tempat kami menginap untuk satu malam.
Setersunya kami bergerak ke airport Istanbul untuk menaiki flight Turkish
Airline ke Sarajevo pada waktu malamnya. Setibanya di airport, tiket kami ke Sarajevo
tiada dalam maklumat penerbangan. Kami telah dimaklumkan oleh pihak Turkish
Airlines terdapat masalah overbook pada tiket. Jadi pada malam tersebut, kami
tidak dapat menaiki flight ke Sarajevo, Bosnia kerana telah penuh.
Alhamdulillah, rezeki kami ketika waktu tersebut, pihak Turkish Airline
memberikan kami ganti rugi yang sangat banyak. Antaranya ialah kami diberikan
wang sebanyak 250 Euro, hotel 4 bintang, makan malam, wifi percuma, panggilan
telefon antarabangsa, percuma bas suhttle dari airport ke hotel, dan tiket flight
ke Sarajevo pada keesokan harinya. Alhamdulillah, rezeki kami ketika di saat
permusafiran. Malam itu kami menginap di hotel yang disediakan oleh pihak
Turkish Airlines.
Keesokan pagi pada
hari ahad bersamaan 24/1, kami bertolak ke Sarajevo pada jam 7.30 pagi dan
sampai pada jam 10.00 pagi. Airport Sarajevo tidaklah besar walaupun Sarajevo
merupakan ibu negara Bosnia. Flight di airport ini juga tiada kelihatan. Ketika
kami sampai, hanya terdapat flight kami sahaja. Pada masa yang sama, cuaca di
Sarajevo sangat sejuk dan dilanda salji yang tebal.
Ketika di sekolah
rendah dahulu saya pernah mendengar negara Bosnia dan pembantaian umat islam
disana. Ketika itu ingat lagi, kami di sekolah menyanyikan nasyid yang
berkaitan Bosnia. Perang Bosnia telah berlaku pada tahun 1992-1995 dan
ramai umat islam yang meninggal dunia dalam peperangan ini. Ketika di Sarajevo,
terdapat juga banyak masjid dan reka bentuk masjid di sini adalah sama
menyerupai reka bentuk masjid di negara Turkey. Rakyat di sini terdiri daripada
pelbagai agama. Antaranya ialah terdapat rakyatnya beragama islam, yahudi dan
kristian. Di Sarajevo juga terdapat banyak gereja. Manakala mata wang
Bosnia ialah KM dan secara pemerhatian saya ketika berada di Bosnia, rakyatnya
sedang berhadapan denga kemelut ekonomi. Sampai di sana, kita boleh lihat
kemajuan pada pengangkutannya yang masih lagi kurang, sistem-sistem kehidupan
dan lain-lain lagi. Uniknya negara Bosnia ini juga, setiap tahun negaranya akan
ditadbir oleh tiga perdana menteri yang berbeza yang mewakili agama masing
masing dalam tempoh yang ditetapkan.
Walaupun Bosnia
dalam tempoh baru mendapat kemerdekaan akibat daripada bosnia war, namun di
Bosnia ini juga terdapat banyak tempat yang menarik yang kita boleh lawati. Di
sini juga mempunyai panaroma alam semula jadi yang sangat cantik. Antara tempat
- tempat menarik yang terdapat di Sarajevo ialah City Hall, Coppersmith street,
Museum Of City of Sarajevo, Old Ortthodox Church, Museum, Ghazi Husrev Bey's
Madassa, Old Clock Tower, Eternal Flame, Ghazi Husrev -Bey's Bazaar, Latin
Bridge, dan banyak lagi.
Selama satu hari kami
tinggal di Sarajevo, seterusnya kami bergerak ke Mostar dengan menaiki bas. Dalam
perjalanan ke stesen bas Sarajevo, kami telah didenda oleh pihak polis yang
telah membuat pemeriksaan tiket ketika di dalam train. Kebetulan kami tidak mempunyai
tiket menaiki train. Pada waktu sebelum ini, kami juga tidak membeli tiket
untuk menaiki train kerana apa yang saya lihat, sistem pengangkutan train di
Sarajevo tidak begitu sistematik. Di sana tiada kaunter pembelian tiket secara
khusus. Sebaliknya tiket hanya boleh didapati di kedai-dekai runcit. Suatu
ketika, kami telah bertanya penduduk di sana berkenaan tiket dan penduduk
tersebut menjawab tiket tidak penting dan menaiki train tanpa mempunyai
tiket adalah perkara biasa dalam kalangan rakyat Sarajevo. Kami telah didenda
sebanyak 26.60 KM oleh pihak polis.
Alhamdulillah, kami
bertolak dari Sarajeve pada waktu tengah hari dan selamat sampai di Mostar pada
waktu petang. Perjalanan ke Mostar mengambil masa selama dua jam lebih. Di
Mostar, terdapat banyak tempat yang menarik. Namun kami sempat melawat hanya
beberapa tempat sahaja. Antaranya ialah Old bridge,Church dan lain-lain
lagi.Di Mostar juga terdapat banyak masjid dan dapat rasai ketenangan apabila
dapat berjumpa masjid dalam kembara ini. Harga tiket dari Sarajevo ke Mostar
ialah 20KM dan di Mostar kami telah menyewa hostel dengan harga 8.50 EUR
seorang.
DUPROVNIK,CROATIA
Duprovnik adalah sebuah bandar di bahagian selatan Negara
Croatia. Ia sangat popular sebagai destinasi pelancongan kerana kedudukannya di
Adriatic Sea yang mempunyai pemandangan yang cantik sekali. Di sini saya
melihat Duprovnik merupakan antara bandar yang maju berbanding Sarajevo dan
Mostar di Bosnia. Di sini kami tinggal selama satu hari di hostel milik seorang
orang muslim walaupun kebanyakan rakyat Croatia adalah bukan muslim. Di
Duprovnik, kami hanya melawat Old Town yang merupakan bandar yang disusun
sangat cantik. Di sini terdapat pelbagai tempat untuk dilawati. Antara tempat
yang kami sempat melawat ialah Univesity Of Duprovnik, Church, Akuarium dan
lain-lain. Harga tiket dari Mostar ke Duprovnik ialah 14 KM dan harga hostel
yang kami sewa di Duprovnik ialah 10 EUR seorang.
KOTOR,MONTENEGRO
Pada 27/1 ( rabu ), kami telah check
out hostel milik uncle Begovic pada jam 1.30 tengah hari. Setersunya uncle
Begovic telah menghantar kami ke stesen bas Duprovnik. Perjalanan kami
seterusnya menuju ke Kotor, Montenegro. Kami telah membeli tiket dari Duprovnik
ke Kotor dengan harga 121.50 KN. Kami telah bertolak dari Duprovnik pada jam
3.00 petang dan sampai di Kotor pada jam 7.00 malam. Di Kotor, kami hanya
melawat Old Town yang di dalamnya terdapat tempat yang boleh untuk dilawati.
Malam itu kami berehat di hostel milik Mrs Marijana. Beliau memberitahu kami
tempat-tempat yang boleh dilawati sepanjang berada di Kotor. Keesokan hari pada
waktu pagi, kami memanjat gunung yang bermula di dalam Old Town. Di puncak
gunung ini, kita boleh mengambil gambar dengan pemandangan yang sangat cantik.
Kami hanya tinggal di Kotor selama satu hari dan harga sewa apartment sebanyak
8.50 EUR.
PRISTINA & PRIZREN,KOSOVO
Kami telah check out apartment di Kotor, Montenegro pada jam 1.30 petang.
Kemudian kami berjalan kaki ke stesen bas Kotor untuk perjalanan
seterusnya ke Pristina, Kosovo.Kalau kita melihat peta perjalanan, kita akan
dapati kedudukan Kotor, adalah sangat jauh dengan Pristina, Kosovo. Kami bergerak
menuju ke Pristina dengan menaiki bas.Untuk sampai ke Pristina, tiada jualan
tiket bas secara direct dari Kotor ke Pristina. Jadi, untuk bergerak ke
Pristina, kami telah menaiki bas sebanyak dua kali. Bas pertama dari Kotor ke
Podgorica yang merupakan ibu negara Kotor. Kami telah bertolak pada jam 2.30
petang dan sampai di Podgorica pada jam 7 malam lebih dengan harga tiket bas
sebanyak 7.50 EUR. Tibanya di Podgorica, kami terus membeli tiket untuk ke
Pristina dengan harga 16.50 EUR. Kami bertolak pada jam 9.30 malam dari
Podgorica dan sampai di Pristina,Kosovo pada jam 4.30 pagi. Malam itu kami
hanya bermalam di dalam bas sahaja.
Cuaca
di Pristina sangat sejuk dan kelihatan suasana persekitaran diliputi oleh
salji. Tibanya kami di Pristina, tempat pertama yang kami cari ialah masjid
untuk kami menunaikan solat subuh dan kelihatan stesen bas Pristina biasa
sahaja walaupun ia terletak di ibu negara Kosovo ini. Alhamdulillah, selepas
berjalan dengan agak jauh dengan mengharungi kesejukan, kami telah
menjumpai masjid. Ketika solat subuh, terdapat ramai jemaah yang hadir disini.
Hati saya gembira kerana dapat melihat ramai juga muslim di Kosovo ini.
Usai
solat subuh, kami disapa oleh masyarakat muslim di sana dan berbual.
Sehinggalah kami dipertemukan beberapa orang pemuda yang baik hati membawa kami
berjalan-jalan di sekitar bandar Pristina. Di sini juga terdapat banyak masjid
yang mana reka bentuk masjid di sini adalah sama menyerupai masjid-masjid yang
terdapat di Turkey dan Bosnia. Baiknya pemuda-pemuda itu membawa kami berjalan
sehingga merekalah yang membelanjakan kami makan pagi dan pengangkutan,serta
membawa dan menerangkan tempat-tempat yang berada di Pristina ini. Semoga Allah
membalas segala jasa baik mereka. Walaupun pertemuan kami tidak lama dengan
pemuda-pemuda muslim Kosovo tersebut, Namun dapat kami rasai ukhuwwah
islamiyyah di antara sesama mereka.
Di Pristina, kami tinggal
tidak lama. Seterusnya kami bergerak menuju ke Prizren, Kosovo pada jam 9 pagi
dengan menaiki bas. Harga tiket dari Pristina ke Prizren adalah sebanyak 4 EUR.
Kami sampai di Prizren pada jam 11.30 pagi. Di Prezren, bandarnya hidup dengan
rakyat-rakyatnya. Di sini juga terdapat banyak masjid dan ramai penduduk
muslim. Di bandar ini juga terdapat banyak jambatan yang sama bentuknya
di Sarajevo,Bosnia. Di bandar ini terdapat old town. Petang pada hari
tersebut kami berjalan-jalan dan melawat di sekitar bandar Prizren. Kami tidak
menyewa hostel kerana pada malam tersebut, kami perlu bergerak menuju ke
Tirane, Albania. Beg-beg pakaian,kami telah letak di dalam salah sebuah masjid
yang terdapat di bandar ini setelah diberi keizinan oleh penjaga masjid dan
imam yang baik hati tersebut.
TIRANE,ALBANIA
Kami bertolak dari Prizren pada jam 5.30 malam dengan menaiki bas.
Harga bagi perjalanan ini adalah sebnayak 10 EUR. Kami telah sampai di bandar
Tirane pada jam 8.30 malam.Tirane merupakan ibu negara bagi negara Al Bania.
Antara ulama kelahiran Al bania ialah Syeikh Nasaruddin al Bani, Syeikh Syuaib
Ar-nout dan lain-lain lagi.
Di sini juga terdapat ramai penduduk muslim dan terdapat juga masjid yang hidup di sini. Pemandangan bandar ini juga cantik dan maju. Selama satu hari kami tinggal di bandar Tirane dan kami telah menyewa hostel dengan harga 7.50 EUR seorang. Di bandar ini juga terdapat banyak tempat-tempat yang menarik untuk dilawati. Pada waktu pagi sehingga petang, kami berjalan-jalan di sekitar bandar Tirane dengan menyewa basikal. Di bandar ini terdapat banyak monumen dan tugu yang boleh kita lihat di sekitar jalan-jalan Tirane. Antara tempat yang kami sempat melawat ialah Skanderbeg Square,National History Museum,Orthodox Autocephalous Church Of Albania,Grand Park dan lain-lain. Petangnya kami dipertemukan dengan seorang pemuda muslim yang mencritakan keadaan hidup di Al Bania.
SKOPJE,MACEDONI
Kami bertolak dari Tirane, Al Bania ke Skopje pada jam 8.30
malam. Kami bergerak ke Skopje dengan menaiki MPV dan sampai di Sopje sebelum
subuh. harga tiket bagi perjalanan Tirane ke Skopje iaitu sebanyak 20 EUR. Pagi
itu kami mencari masjid untuk menunaikan solat subuh dan beg pakaian kami telah
disimpan di stesen bas.Di bandar ini juga terdapat banyak masjid yang boleh
didapati secara mudah.Di bandar ini juga terdapat banyak monumen dan tugu di
sekitar jalanraya Skopje. Banyak tempat menarik yang boleh dilawati di bandar
Skoje ini. Antara tempat yang kami sempat lawati sepanjang satu hari tersebut
ialah Late Makka,Old Bazar,The Stone Bridge,Macedonia Square,Millennium
Cross,Warrior On a Horse,Mustafa Pasha Mosque,Skopje Art Bridge,dan lain-lain
lagi.D i sini juga saya dapat merasai pengalaman menaiki cabel car buat kali
pertama ketika melawat Millennium Cross.
SOFIA,BULGARIA
Destinasi
kembara kami seterusnya ialah Sofia,Bulagria. Malam itu kami hanya tidur di
dalam MPV yang bergerak ke Sofia dari Skopje. Kami bertolak dari Skopje pada
jam 12.00 tengah malam dan sampai di Sofia, Bulgaria sebelum waktu subuh. Di
Sofia, kami tinggal selama satu hari setengah. Di sini kami menyewa hostel
dengan harga 20 LEFE.Di Sofia ini, kami sukar untuk menjumpai
penduduk-penduduk muslim. Di bandar ini hanya ada satu masjid.Ketika kami solat
subuh berjemaah di masjid, bilangan jemaah yang hadir tidaklah ramai dan masjid
ini juga dihidupkan oleh seorang rakyat Syria yang telah lama berhijrah di
Sofia ini. Keistimewaan di bandar Sofia ini, terdapat rumah rumah ibadat bagi
penganut agama yang terbesar ini. Disini terdapat masjid, church, dan juga
rumah ibadat bagi penganut agama yahudi. Bandar Sofia juga maju dan boleh
dilihat pada pembangunan dan pengangkutan yang disediakan.
Sepanjang
berada di Sofia, kami berkesempatan melawat chucrh, rumah ibadat penganut agama
yahudi, museum dan berjalan-jalan di sekitar di sekitar bandar Sofia. Kami juga
berkesempatan menjumpai seorang uncle muslim yang berasal dari Jordan. Beliau
telah membelanjakan kami syawarma yang terdapat di kedai bandar Sofia dan juga
menceritakan tentang keadaan dan suasana kehidupan di Bulgaria. Beliau juga
telah membawa kami ke kedai telefon miliknya.
Antara
pengalaman menarik sepanjang berada di Sofia ialah kami ditipu oleh pihak polis
yang pada mulanya kami menganggap mereka orang biasa. Ketika dalam perjalanan
balik ke hostel untuk menaiki train, kami ingin membeli tiket train lalu kami
bertanyakan dua orang lelaki tadi yang sebenarnya mereka adalah pihak polis.
Kami bertanyakan tentang cara untuk membeli tiket lalu mereka memaklumkan tiket
boleh di dapati daripada pemandu train.Apabila kami telah menaiki train dan
bertanyakan pemandu train tentang tiket, beliau menjawa tiket tidak cukup untuk
dijual kepada kami dan beliau membenarkan kami naik train tanpa ada tiket.
Tiba-tiba datang dua orang lelaki yang sebenarnya mereka polis telah mendenda
kami sebanyak 20 LEFE kerana kami tidak memiliki tiket train walaupun
sebenarnya kami ingin membayar duit tiket train kepada pemandu train
tersebut.apapun, kami redah dengan apa yang berlaku dan menjadi pengajaran
serta kenangan buat kami sepanjang kembara ini.
Setelah
berada selama satu hari lebih di Sofia, pada malamnya kami check out hostel dan
terus bergerak ke stesen bas Sofia untuk perjalanan balik ke Istanbul. Kami
balik ke Istanbul dengan menaiki bas yang harga tiketnya bernilai 50 LEFE. Kami
bertolak pada waktu malam dan sampai di Istanbul pada waktu sebelum subuh.Di
Istanbul, kami tinggal di sana selama dua hari dan melawat tempat-tempat yang
tidak sempat kami melawat ketika kunjungan awal kami.di sini kami menyewa
hostel dengan harga 29 LIRA seorang untuk satu malam.
Pada hari jumaat bersamaan 5/2, kami telah bertolak pulang ke Jordan pada jam 12.35 pagi. Alhamdulillah kami telah selamat sampai di airport Aqabah sebelum waktu subuh dan selamat sampai di Irbid sebelum waktu solat jumaat.
PENUTUP
Banyak manfaat,ilmu,dan pengalaman yang saya perolehi hasil
daripada pengembaraan ini. Walaupun sebenarnya sangat letih terutamanya
terpaksa menggalas beg yang seberat berbelas kilo dan juga beg sampingan, namun
kepuasan dapat dirasai daripada pengembaraan ini. Saya fikir mengembara adalah
salah satu wasilah untuk melihat dunia luar yang masih banyak yang belum saya
tahu dan rasai di samping menambah keimanan dan cinta kepada Allah dengan
melihat pencipataan alam ini yang sangat unik dan cantik. Saya juga berharap,
saya dapat kongsikan kebaikan yang saya dapat daripada pengembaraan ini kepada
orang-orang lain.
Ucapan terima kasih tidak terhingga kepada insan-insan yang telah banyak membantu saya sepanjang permusafiran ini khasnya kepada emak angkat saya di Sarawak yang telah banyak membantu dan juga restu daripada emak dan ayah saya yang berada di kampung. Terima kasih juga kepada rakan-rakan saya yang turut sama mengembara ini iaitu Alif, Hakim, dan Muhaimin. Terima kasih atas bantuan mereka dan mereka bertiga sangat baik ketika dalam tempoh mengembara ini dan saya rasa seronok mengembara bersama mereka.
Terima kasih kepada semua yang membantu secara langsung mahupun tidak langsung dan yang sentiasa mendoakan kami. Akhirnya saya mengharapkan pembaca dapat mengambil manfaat daripada secebis perkongsian saya yang tidak seberapa ini. Semoga kita semua dibawah keampunan, rahmat, dan keredhaan daripada Allah SWT.
No comments:
Post a Comment