PAUSE HERE

Friday, September 6, 2019

Musafir 8: Membangun Jiwa Bersama Dengan USRAH Pintar


" Kehidupan Yang Baik "

Oleh : Ustaz Anhar Opir

Tanpa melihat latar belakang kerjaya atau bidang pendidikan, kehidupan seorang muslim adalah sama sebagai seorang hamba Allah SWT. Kehidupan ini adalah kehidupan biasa yang dilalui setiap hari. Kita mempunyai kewajipan seharian seperti solat fardhu, kewajipan mingguan seperti solat jumaat, kewajipan tahunan tahunan seperti puasa ramadhan, dan kewajipan seumur hidup iaitu ibadah haji.

Sebenarnya dalam hidup seharian kita juga, ada beberapa tugas  dan amalan yang perlu kita lakukan. Jika kita dapat lakukan dengan sempurna maka kita semakin meningkat ke arah yang lebih baik. Ia juga mampu meninggikan darjat dan memperteguhkan iman dalam berhadapan dengan tipu daya syaitan. Diantara tugas dan amalan tersebut ialah :

1) Istighfar

Setiap insan tidak sunyi daripada kesalahan, maka wajib ke atasnya bertaubat kepada Allah SWT. Bertaubat maksudnya kembali kepada Allah SWT daripada segala dosa dan maksiat. Salah satu caranya ialah dengan beristighfar iaitu meminta keampunan daripada Allah SWT. Imam Al-Nawawi (676 H) membahagikan dosa dan maksiat kepada dua: iaitu maksiat kepada Allah dan maksiat sesama manusia. Hukum bertaubat adalah wajib, katanya :

" Taubat itu hukumnya wajib daripada setip maksiat yang dilakukan
(Imam Nawawi, Riyadhul Salihin )

Nabi SAW yang ma'sum iaitu terpelihara daripada dosa pun masih tetap beristighfar setiap hari sebanyak tujuh puluh kali. Dalam Nabi SAW, istighfar ini adalah amalan hariannya yang tidak pernah tidak ditinggalkan, sama ada setiap kali lepas solat atau selepas keluar daripada bilik air. Diriwayatkan daripada Aisyah RAH bahawa Nabi SAW ketika keluar daripada bilik air akan menyebut ghufranak (keampunanMU ya Allah). ( Riwayat al-Tirmizi )

Nabi SAW juga mengajar kepada para sahabat agar sentiasa beristighfar dengan sayyidul ( penghulu ) istighfar setiap pagi dan petang. Diriwayatkan daripada Syaddad bin Aus RA bahawa Nabi SAW bersabda " Sayyidul Istighfar ialah kamu menyebut :

اللم انت ربي لا اله اله الا أنت خلقتني وأنا عبدك وأنا على عهدك ووعدك ما استطعت أعوذبك من شر ما صنعت أبوءلك بنعمتك علي وأبوءلك بذنبي فاغفرلي فاءنه لا يغفر الذنوب الا أنت

Ertinya: “Barangsiapa yang menyebutnya pada waktu siang dengan keyakinan terhadapnya lalu mati pada hari tersebut sebelum waktu petang maka dia wajib adalah daripada ahli syurga. Dan sesiapa yang menyebutnya pada waktu malam dengan yakin terhadapnya lalu mati sebelum waktu pagi, maka dia adalah daripada ahli syurga” (Riwayat al-Bukhari)

Demikianlah kita melihat amalan ibadah ini merupakan rutin harian Nabi Muhammad SAW dan para sahabat RA  maka sepatutnya menjadi amalan harian kita juga sebagai muslim. Ia adalah gambaran iman yang sentiasa hidup dan subur yang boleh mendekatkan diri kita kepada al-Khaliq Azza wajalla.

2) Membaca al-Quran

Amalan harian bagi seseorang muslim juga ialah membaca beberapa ayat al-Quran. Ia boleh dianggap sebagai amalan asasi dan utama kerana al-Quran merupakan kitab petunjuk dan dustur rabbani yang kekal dan tidak pernah berubah. Firman Allah SWT dalam surah al-Muzammil ayat 20 bermaksud :

" Sesungguhnya TuhanMu (Wahai Muhammad) mengetahui bahawasanya engkau selama kurang dari dua pertiga malam, dan selama satu perduanya, dan selama satu pertiganya, dan segolongan dari orang-orang yang bersama-samamu (kerana hendak menepati perintah yang terdahulu) padahal Allah jualah yang menentukan  dengan tepat kadar masa malam dan siang. Dia mengetahui bahawa kamu sekali-kali tidak akan mendapat mengira dengan tepat kadar masa itu, lalu Dia menarik balik perintahNya yang terdahulu (dengan memberi kemudahan) kepada kamu. Oleh itu bacalah mana-mana yang mudah kamu dapat membacanya daripada al-Quran.

Disamping itu, membaca al-Quran bakal mendapat ganjaran yang besar  daripada Allah Azza Wajalla. Inilah janji Allah SWT kepada pembaca al-Quran.Diriwayatkan daripada Abdullah Bin Masu'd bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda :

" Barangsiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah maka baginya satu kebaikan. Dan satu kebaikan bersamaan dengan sepuluh kali ganda yang sama dengannya. Aku tidak meyebut Alim Lam Mim satu huruf tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf , dan Mim satu huruf.         (Riwayat al-Tirmizi )

Membaca al-Quran menunjukkan hatinya sentiasa hidup dengan cahaya ilahi. Jiwa insan yang tidak membaca al-Quran adalah seperti rumah yang kosong dan binasa. Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA bahawa Nabi SAW bersabda :

" Sesungguhnya orang yang rongganya tidak ada suatupun daripada al-Quran maka ia seumpama rumah yang binasa. (Riwayat Imam al-Tirmidzi)

Mengingati pesanan Dr Solah Abdul Fattah Al-Khalidi ketika memberikan kuliah kepada kami mahasiswa/mahasiwi pada awal bulan mac beberapa minggu yang lalu, beliau mengingatkan kami agar menjaga beberapa perkara berikut :

1) Mencintai al-Quran dengan sebenarnya
2) Membaca al-Quran setiap hari
3) Memahami al-Quran berdasarkan tafsirnya
4) Melaksanakan hukum hakam al-Quran
5) Menyeru manusia kepada al-Quran
6) Menghadapi musuh dengan al-Quran

3) Bersedekah

Dalam kehidupan harian juga, kita perlu bersedekah daripada harta yang kita ada. Bagi yang menyangka bahawa bersedekah hanya ketika ada orang yang meminta sahaja, maka ia satu kesilapan. Nabi SAW telah menunjukkan bahawa bersedekah adalah amalan dan ibadah harian sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA: " Bersedekah mampu menghilangkan sifat bakhil dan kedekut. Yang penting lakukan dengan ikhlas bukan untuk menunjuk-nunjuk atau riya'. Bersedekah dengan ikhlas ini menjadikan kita beruntung pada hari akhirat nanti. Firman Allah SWT dalam Surah ar-Ra'd ayat 22 yang bermaksud:

" Dan orang-orang yang sabar kerana mengharapkan keredhaan Tuhan mereka semata-mata, dan mendirikan solat, serta mendermakan dari apa yang kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka, dan mereka pula menolak kejahatan dengan cara yang baik; mereka itu semuanya disediakan baginya balasan yang sebaik-baik pada hari kiamat".

Bahkan kita dapati galakan bersedekah ini hingga sampai ke satu tahap tidak penting apa yang kita sedekahkan. Apa yang penting ialah perbuatan bersedekah itu sendiri. Sedikit atau banyak bukan persoalannya, biarpun apa yang kita berikan langsung tidak menyebabkan penerimanya menjadi kaya, atau makanan yang kita sedekahkan langsung tidak mengeyangkan, namun kita tetap ditunut untuk bersedekah. Ini yang boleh kita faham daripada sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ady bin Hatim bahawa Dia mendengar nabi SAW bersabda :

"Takutlah kepada api neraka walau dengan hanya separuh biji tamar" (Riwayat al-Bukhari )

Apalah yang ada dengan separuh biji tamar ? terlalu sedikit atau kecil,langsung tidak mengeyangkan. Bukan sahaja pada zaman sekarang, tetapi juga pada zaman Rasulullah SAW, namun yang lebih utama ialah membudayakan amalan bersedekah dalam diri kita setiap hari. Peruntukkan harta kita untuk disedekahkan kepada orang yang memerlukan. Pastikan ia daripada yang paling elok, bukannya yang buruk dan lusuh!


Oleh itu, jadikanlah kehidupan seharian kita sebagai kehidupan seorang muslim yang mengikut ajaran Islam yang sebenar sebagaimana yang ditunjukkan oleh Nabi SAW. Kita perlu menjadi muslim dua puluh empat jam bermula dari bangun pagi waktu subuh sehinggalah bangun semula keesokannya, bukannya muslim sepuluh jam atau dua belas jam sahaja. Barulah layak untuk mendapat kehidupan yang baik sebagaimana yang disebut oleh Allah SWT dalam surah an-Nahl ayat 97 yang bermaksud ;

" Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik, dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka kerjakan"

Kesimpulannya, kita perlu mendapatkan kehidupan yang baik. Tetapi ia tidak secara percuma melainkan setelah mencukupi syarat-syaratnya.


*Rujukan artikel asal - Buku Muslim 24 Jam Keluaran Oleh Mentor Council, MPMMJ


No comments:

Post a Comment

Musafir 1: Kembara Ilmu Ke Jordan

Kembara ilmu saya ke Jordan bermula selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia  (SPM) pada akhir tahun 2011.Kemudian, saya telah di...