Teringat pesanan guru saya yang juga merupakan pengerusi sekolah Maahad
Tahfiz Anak Yatim Darul Fuqaha iaitu Ustaz Khairuddin ketika saya hendak
bertolak ke Jordan buat pertama kali untuk menyambung pelajaran pada bulan
september tahun 2012, beliau berpesan kepada saya ketika saya berada di
lapangan terbang KLIA. Pesan beliau yang saya masih ingat " nanti Abi
masukkan duit, banyakkan membeli kitab ".
Ketika
saya sampai ke Jordan, baru saya sedar akan kepentingan membeli kitab hasil
nasihat daripada para senior di sini. Bagi saya, sebagai penuntut ilmu, kitab
merupakan unsur terpenting yang dapat membantu kita dalam proses pembelajaran.
Ketiadaan kitab sedikit sebanyak menyukarkan kita untuk menuntut ilmu bagi
sesuatu ilmu yang kita hendak pelajari. Pada masa yang sama, ditambah pula
perasaan menebal di hati saya suka dan cinta kepada apa-apa buku mahupun kitab.
Semenjak
itu, saya suka membeli kitab-kitab arab dan tidak kisah jika wang banyak
dihabiskan untuk membeli kitab. Saya fikir kitab-kitab yang saya beli ini
sebagai rujukan pada masa akan datang dan juga sebagai harta yang berharga buat
saya dan keluarga yang saya akan bina nanti iaitu dengan mewariskan ilmu kepada
mereka. Saya juga berfikir semoga pelaburan kewangan untuk membeli kitab-kitab
pada waktu saya menuntut ilmu ini dapat memberi manfaat kepada diri
saya dan juga memberi manfaat kepada masyarakat sekeliling, kepada agama
dan negara suatu masa nanti. InsyaAllah.
Sepanjang
saya menuntut ilmu di Jordan ini, telah banyak kitab-kitab arab yang telah saya
beli. Kebanyakan kitab-kitab yang saya telah beli dengan pelbagai jenis bidang
iaitu merangkumi bidang al-Quran, Hadith dan Ulum Hadith, Feqh dan Usul Feqh,
Tasawwuf, Dakwah, Siasah dan Tarbiah, dan lain-lain lagi. Kebanyakan kitab yang
saya miliki adalah kitab di dalam bidang Feqh dan Usul Feqh. Kos kewangan yang
telah saya habiskan untuk membeli kitab-kitab ini pula lebih kurang antara RM
8000.00 -10,000.00. Manakala kitab-kitab yang saya telah beli ini juga bukan
sahaja di Jordan, tetapi juga saya berkesempatan untuk membeli kitab dari
negara Yaman dan juga Arab Suadi ketika menziarahi negara-negara tersebut.
Di Jordan, terdapat kedai-kedai kitab yang
terkenal di sekitar Balad Amman. Antara kedai-kedai kitab yang terdapat di sana
ialah Maktabah Dar Dandis, Maktabah Darul Farouq, Maktabah Muassatul Arisalah,
Maktabah Darul Nafais dan lain-lain lagi. Kebanyakan kitab-kitab yang saya
telah beli daripada maktabah Dandis dan juga Darul Nafaes. Selain itu,
pengalaman manis berada di Jordan juga ialah saya bersama sahabat saya iaitu
Ustaz Salman Ibnu Mokhtar telah membuka tempahan kitab kepada kawan-kawan yang
ingin menempah kitab daripada kami dengan kami membeli kitab-kitab mereka di
kedai-kedai kitab yang terdapat di Amman. Kami juga telah menubuhkan syarikat tempahan
kitab yang diberi nama " Jilul Al-Quran Enterprise". Alhamdulillah,
kami berhasil mendapat sedikit untung hasil daripada membuka tempahan
kitab kepada sahabat-sahabat sepengajian dengan niat utama kami hanyalah
untuk membantu sahabat-sahabat sepengajian untuk membeli kitab mereka di
samping juga untuk mencari pengalaman.
Kesempatan ini, saya ingin mengambil ruang
untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak-pihak yang banyak membantu
saya sepanjang saya menuntut ilmu di Jordan khususnya kepada Ibu bapa saya,
pihak sekolah Darul Fuqaha, Abi, Umi, Poklang, Emak angkat saya iaitu maklong
dan suaminya, Uncle Kamarul, Maknik dan keluarga, Maksu Hanna, Umi Safiah di
Johor Bahru, penduduk-penduduk di tempat saya menjadi imam tarawih iaitu di
Bangi, Pinang Tunggal, Sg Dendang, Kuala Kangsar. Terima kasih juga kepada
pihak Maipk, kawan-kawan ayah saya iaitu Pakcik Nazri, Ayah Haji Husni, Cikgu
Sufian, dan pihak yang membantu secara langsung mahupun tidak langsung. Terima
kasih atas bantuan kewangan dan banyak perkara lagi.
Alhamdulillah, melalui kewangan yang mereka
berikan, Alhamdulillah tercapai hajat saya untuk membeli kitab-kitab ini yang
mencecah kos ribuan ringgit. Moga-moga pembelian kitab ini dapat memberikan
saya motivasi untuk membaca kitab-kitab tersebut untuk menambahkan ilmu,
menjadikan diri saya hamba Allah yang beriman dan bertakwa, beramal dengan ilmu
yang dipelajari, bermanfaat ilmu dalam kehidupan saya dan juga dapat disebarkan
kepada orang lain, dan seterusnya menjadikan saya hamba Allah yang istiqamah
dalam ketaan kepada Allah dan meninggalkan segala laranganNYA. Ameen,
insyaAllah.
No comments:
Post a Comment