PAUSE HERE

Sunday, November 10, 2019

Musafir 1: Kembara Ilmu Ke Jordan

Kembara ilmu saya ke Jordan bermula selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada akhir tahun 2011.Kemudian, saya telah ditawarkan untuk mengajar di tempat saya belajar dahulu iaitu di Darul Fuqaha,Sg Merab Bangi.Saya ditawarkan mengajar untuk murid-murid sekolah rendah dan nama sekolah yang saya mengajar ialah Sekolah Rendah Islam Pintar Tahfiz Fuqaha (SRIPT). Sambil menunggu keputusan SPM,saya berfikir elok juga untuk saya mengisi masa dengan bekerja iaitu mengajar disamping menambah ilmu dan pengalaman untuk menjadi cikgu.Di sekolah tersebut, tempat tinggal dan makanan disediakan oleh pihak sekolah.Di sana juga saya ditugaskan menjadi warden bersama rakan-rakan sekerja saya untuk murid-murid sekolah rendah yang tinggal di asrama. Ketika itu,baru saya dapat rasai sedikit pengalaman dan pengorbanan menjadi seorang guru.Berdepan dengan pelbagai karenah murid-murid sekolah rendah,memantau kehidupan mereka di asrama,dan mengajar mendidik jiwa saya agar sentiasa bersifat sabar.




 BULAN 3

Umumnya di Malaysia, bulan 3 adalah bulan makluman keputusan bagi peperiksaan SPM. Bulan ini dinanti-nantikan oleh  bagi para pelajar untuk mengetahui keputusan peperiksaan SPM mereka. Ini termasuklah saya dan rakan-rakan. Saat keputusan SPM telah keluar dan ketika itu, guru subjek sains saya iaitu cikgu Ainur telah mengambil slip keputusan peperiksaan SPM kami di Sekolah Kiblah,Sepang. Ketika waktu tengahari, saya dan beberapa orang kawan yang sama-sama mengajar di SRIPT telah dipanggil untuk hadir ke pejabat bagi mengambil keputusan SPM 2011. Saat itu, hati saya berdebar-debar dalam perjalanan menuju ke pejabat. Sampai sahaja saya dan rakan-rakan di pejabat sekolah, kami masuk dan duduk di ruang tamu pejabat. Ketika itu, ada beberapa orang cikgu berada di sekeliling kami. Lalu cikgu memberikan kami slip keputusan SPM. Ketika itu, hati saya terus berdebar kerana tidak tahu apakah  nasib keputusan SPM saya yang saya akan  perolehi nanti.

Saat cikgu menyampaikan slip keputusan SPM kepada saya, saya tatap slip tersebut dengan teliti dan melihat keputusan satu persatu bagi setiap subjek. Saya kira banyak juga tulisan A di kertas slip keputusan SPM  disamping terdapat keputusan lain. Hati saya gembira. Alhamdulillah, pada waktu yang sama, tiba -tiba semua cikgu  ucapkan " Tahniah Nizar " kepada saya. Saya rasa terharu atas ucapan yang diberikan oleh cikgu-cikgu saya. Alhamdulillah,saya rasa sangat gembira dengan keputusan tersebut walaupun target saya ingin mendapat 10 A. Saya gembira kerana sekurang-sekurangnya saya dapat membalas jasa baik sekolah dan pengorbanan para guru  dengan keputusan tersebut disamping memberi contoh teladan kepada junior-junior di sekolah saya. Ia juga merupakan sejarah dan rekod pertama bagi sekolah saya terhadap keputusan SPM tersebut. Saya juga kongsikan berita gembira ini kepada emak dan ayah saya di kampung dan juga kepada emak saya.

Saya bekerja di SRIPT sehingga bulan 7 tahun 2012. Sepanjang tempoh tersebut, saya telah isi borang UPU untuk kemasukan IPTA/IPTS. Saya juga telah mengisi borang kemasukan Maktab Perguruan dan saya juga telah mengisi borang kemasukan ke Darul al-Quran. Borang kemasukan ke universiti di luar negara iaitu  ke Jordan juga telah saya isi. Bagi kemasukan universiti ke Jordan, saya memohon secara pesendirian. Banyak dokumen yang diperlukan seperti urusan terjemahan sijil keputusan SPM dan surat beranak, pasport, medical check-up, bayaran untuk pengurusan kepada EMJ, gambar dan lain-lain, telah saya uruskan dengan sendiri kebanyakannya.

Sambil menunggu keputusan SPM, Alhamduillah saya menerima keputusan untuk kemasukan ke IPTA. Saya ditawarkan untuk menyambung pelajaran di UNISZA. Pada mulanya saya ingin masuk ke UNISZA tersebut, tetapi atas nasihat oleh murabbi kami iaitu Ustaz Khairuddin At-takiri (pengerusi Darul Fuqaha ),beliau meyakinkan saya tentang kemasukan universiti-universiti ke Jordan. Lalu saya tidak masuk ke UNISZA tersebut. Pada waktu hari pendaftaran dan kemasukan pelajar-pelajar, saya juga tidak hadir. Tawaran kedua saya pula ialah saya dipanggil untuk hadir temuduga untuk kemasukan Darul Alquran  Jakim di Masjid negara. Teringin juga saya ingin belajar di Darul Quran.Namun, pada hari temuduga tersebut,saya juga tidak hadir dan membiarkan temuduga tersebut berlalu bergitu sahaja kerana ketika itu saya mempunyai urusan yang tidak dapat dielakkan.

                                        HARI RAYA AIDIL FITRI

Pada tahun 2012 juga, saya ditawarkan untuk menjadi imam tarawih sepanjang bulan ramadhan di Kuala Kangsar. Jadi tugasan saya menjadi guru sekolah rendah di SRIPT hanya 7 bulan sahaja daripada bulan 1 sehingga bulan 7. Bulan 8 saya menjadi imam tarawih sehinggalah selesai tamat menjadi imam tarawih, saya pulang ke kampung halaman saya di Ijok,Perak dan meraikan hari raya aidil fitri di kampung. Selang beberapa hari selepas hari raya pertama, sebuah motosikal yang dibawa oleh seorang posmen telah datang ke rumah saya untuk menghantar surat .Saya mengambil surat tersebut daripada posmen tersebut. Surat tersebut tertera nama saya dan ia  daripada  Kementerian Pengajian Tinggi. Alangkah gembiranya hati saya ketika itu, surat tersebut mengandungi keputusan melanjutkan pelajaran ke Tanah Syam iaitu di Jordan. Alhamdulillah, Alhamdulillah, keputusan saya diterima. Pada ketika itu, saya sangat gembira.dan tidak lupa,saya juga melakukan sujud syukur atas kurniaan Allah atas tawaran saya dapat melanjutkan pelajaran ke Jordan.

Saya kongsikan berita ini kepada keluarga saya dan juga rakan-rakan di facebook. Ketika tetamu-tetamu datang ke rumah saya  saat suasana hari raya aidilfitri, saya juga kongsikan berita ini termasuklah juga adik beradik sebelah ayah dan emak saya. Mereka sangat gembira dan juga memberi nasihat kepada saya.

Selepas menerima keputusan tersebut, persiapan ke Jordan telah saya mulakan dan lakukan. Barang-barang kelengkapan diri, pakaian, beg, laptop, dokumen-dokumen penting  telah saya beli. Pada waktu yang sama, ramai kenalan-kenalan terdiri daripada kawan-kawan ayah yang menghulurkan duit termasuk juga ahli-ahli qaryah saya. Mereka gembira dengan peluang saya belajar di luar negara. Ketika itu, saya juga merupakan insan pertama daripada kampung dapat melanjutkan pelajaran ke timur tengah. Keberangkatan saya ke Jordan merupakan tanggungjawab yang besar dalam menuntut ilmu. Saya juga  fikir dan bercita-cita ,kepulangan saya nanti daripada menuntut ilmu di Jordan perlu saya sumbangkan ilmu kepada masyarakat khususnya kepada ahli-ahli kampung saya di samping merubah nasib kehidupan keluarga saya.

Kemudian, tiba hari persekolahan selepas hari raya aidil fitri, saya pulang ke sekolah buat sementara waktu untuk menyelesaikan beberapa urusan. Antaranya urusan tiket flight ke Jordan. Pada waktu ini, saya mempersiapkan keperluan barang-barang yang berbaki yang masih belum dibeli. Pada waktu ini juga guru saya iaitu ustaz Azlan membawa saya ke Kuala Lumpur untuk membeli komputer riba bagi kegunaan belajar. Setelah beberapa hari saya tinggal di sekolah, saya pulang semula ke kampung halaman sebelum saya bertolak ke Jordan.

BERTOLAK KE JORDAN

Tiba saat menghampiri keberangkatan saya ke Jordan, saya bertolak ke sekolah lama saya (Darul Fuqaha) dengan menaiki bas dari Taiping - Kajang. Saya tinggal di sekolah selama 2/3 hari sebelum bertolak ke Jordan. Sepanjang tempoh tersebut, saya telah berjumpa dengan guru-guru yang telah mengajar saya. Saya juga diminta untuk meberi taujihat dan nasihat kepada adik-adik junior saya di Darul Fuqaha. Hari rabu malam khamis pada 5/9, saya berjumpa dengan adik-adik junior saya dan memberikan mereka taujihat serta bergambar bersama mereka buat kali terakhir. Esoknya saya akan bertolak ke Jordan untuk meneruskan perjuangan menuntut ilmu.


Pada 6/9 bersamaan hari khamis, saya telah bertolak ke Jordan daripada sekolah. Sebelum itu, ayah dan kawan ayah saya serta beberapa orang adik saya turut sama kali dalam menghantar saya ke Jordan di KLIA. Mereka telah sampai ke sekolah saya sehari sebelum saya bertolak dan mereka telah tidur di surau sekolah saya. Keberangkatan saya ke Jordan diraikan oleh adik-adik junior Darul Fuqaha, guru-guru, staff-staff dan anak-anak murid saya di sekolah. Mereka semua berkumpul di bangunan SRIPT. Turut hadir ke sekolah pada ketika itu ialah emak angkat saya. Selepas salam dan berpelukan dengan adik-adik junior sekolah saya,saya pun bertolak menuju ke KLIA bersama ayah, kawan ayah, dua orang adik saya dan emak angkat saya.




KLIA
Saya bertolak ke Jordan melalui group Ustazah Tasnim yang juga sedang mengambil PHD di Universiti Yarmouk, Jordan. Dalam group untuk ke Jordan tersebut turut disertai ramai pelajar lain yang juga menyambung pengajian di Jordan terdiri daripada  pelajar syabab dan akhowat. Tiba di KLIA juga iaitu ust khairuddin yang mesra dipanggil Abi dan juga Umi. Turut bersama mengiringi saya ialah kawan-kawan sepengajian saya dan juga maklang yang tinggal di Putrajaya serta kehadiran  cikgu-cikgu saya. Ketika itu berbagai perasaan hadir dalam diri  saya. Gembira, berdebar-debar, malu, terharu dan lain-lain. Gembira sebab  dapat sambung belajar di Jordan. Terharu dengan kehadiran orang-orang terdekat saya yang meraikan dan mengiringi saya untuk belajar ke Jordan. Di KLIA, urusan check in, tukar duit berjalan dengan baik.

Sebelum bertolak, saya dan pelajar-pelajar lain diberi taklimat oleh suami ustazah Tasnim tentang perjalanan ke Jordan. Selepas itu, kami diberi masa dalam 1 jam lebih untuk bersama keluarga masing-masing. Masa yang berbaki itu saya manfaatkan dengan makan bersama insan-insan yang mengiringi saya di KLIA. Setelah selesai makan, tibalah saat saya akan bertolak dan kami diminta untuk berkumpul di hadapan imegrisen. Saat itu,saya bersalaman dan  berpelukan dengan ayah saya, kawan ayah saya, abi, kawan-kawan dan ustaz-ustaz saya yang hadir di KLIA. Saya juga berjumpa cikgu-cikgu perempuan saya,emak angkat saya dan maklang. Saya mohon maaf maaf kepada semua yang hadir. Setelah selesai, saya terus bergerak ke arah imegrisen untuk pemeriksan pasport sebelum bertolak menaiki flight.





Dalam perjalanan menuju tempat untuk menaiki flight, saya telah menghubungi emak saya yang berada di kampung kerana tidak dapat hadir bagi menjaga adik-adik saya yang berada di rumah. Saya memohon maaf kepada emak dan memohon emak untuk doakan saya agar selamat dalam perjalanan. Alhamdulillah, segala urusan berjalan dengan lancar. Saya telah bertolak ke Jordan pada jam 12 lebih tengah hari dengan menaiki flight Oman Air. Di situ juga saya dipertemukan saudara Azizul Raheem yang turut sama belajar di Jordan dan sama-sama menaiki flight bersama saya. Alhamdulillah, secara keseluruhannya semua urusan saya dipermudahkan dan berjalan dengan baik.

Kesempatan ini,saya ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada ayah, emak, emak angkat saya, Abi, Umi, Poklang, Ustaz Zulkarnain, Ayah Haji, Maklang, Cikgu Ainur, Cikgu Whaheeda, Ikram, Firdaus, Amir, adik-adik saya yang telah menghantar saya ke airpot KLIA. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh warga pendidk Darul Fuqaha yang telah mengajar dan mendidik saya. Semoga jasa baik dan kebaikan setiap insan yang hadir dalam hidup saya, saya doakan semoga dibalas dengan sebaik-baik ganjaran di sisi Allah SWT.

Saya juga  ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada insan-insan yang telah membantu saya ketika dalam persiapan ke Jordan. Terima kasih kepada kawan-kawan ayah, adik beradik sebelah emak dan ayah,ahli-ahli qaryah Kg Sg Simpul, rakan-rakan dan pihak yang membantu secara langsung mahupun tidak langsung. Saya doakkan semoga Allah SWT membalas kebaikan kalian dengan sebaik-baik ganjaran di sisiNYA.

Saya berazam,saya ingin menuntut ilmu dengan bersungguh-sungguh sehingga berjaya. Moga-moga dengan kejayaan saya, saya dapat sumbangkan kepada keluarga, masyarakat, agama dan negara kelak. InsyaAllah.

Maka bermulalah perjuangan ilmu saya di tanah syam iaitu Jordan selama 4 tahun lebih. Semoga Allah mempermudahkan urusan saya di sana nanti.Bismillah... 
Ahlan Wasahlan Urdun !




Musafir 2: Belajar di Markaz Luqhah (Pusat Bahasa)

      Pertengahan bulan september telah bermulanya semester baru bagi pelajar-pelajar baru kemasukan tahun 2012. Ia juga adalah semester pertama untuk saya  dalam kembara menuntut ilmu di Jordan ini. Semester pertama ini menyaksikan kebanyakan pelajar-pelajar baru termasuk saya perlu mengambil Markaz Lughah (Pusat bahasa) di dalam Universiti Yarmouk. Sebelum kami dikehendaki masuk Markaz Lughah, di sini terdapat ujian untuk melihat keputusan seseorang samada perlu memasuki ke Markaz Lughah ataupun tidak. Kebanyakan kawan-kawan sepengajian dengan saya perlu mengambil Markaz Lughah. Terdapat juga kawan-kawan saya yang lulus di dalam ujian dan tidak perlu untuk mengambil Markaz Lughah. Terdapat juga kawan-kawan saya yang lulus dalam ujian tersebut dan mereka mengambil Markaz Lughah di luar universiti.

Markaz Lughah atau Pusat Bahasa merupakan tempat untuk mempelajari bahasa arab dalam membentuk pelajar-pelajar supaya dapat memahirkan diri dalam berbahasa arab samada dalam aspek percakapan, penulisan, kemahiran dan lain-lain. Ia adalah wajib bagi pelajar-pelajar tahun satu bagi pelajar-pelajar asing selain pelajar-pelajar Jordan yang baru masuk dalam memulakan pengajian di Universiti Yarmouk. Ia juga sebagai persediaan bagi seseorang pelajar agar mahir dalam bahasa arab bagi menempuh pengajian dalam kuliah-kuliah pada semester akan datang. Di tempat ini, kita akan diajar tentang kemahiran untuk berbahasa arab dari sudut kemahiran pembacaan, perbualan, qawaed, penulisan dan kemahiran mendengar.

Bahasa arab juga menyaksikan kejayaan penyebaran islam di serata dunia sehingga Islam dapat kekal sehingga kini. Bahasa ini juga menjadi komunikasi terpenting di mana-mana jua dan tidak mengira lapisan masyarakat yang mempelajarinya samada kaum Melayu, Cina, Korea, Hindu, Turki dan sebagainya. Bagi pelajar-pelajar Islam yang bergama Islam dan khususnya yang bertakhasus Syariah Islamiyyah, menjadi kewajipan untuk mempelajari dan menguasai bahasa arab dalam memahami kalam-kalam daripada kitab al-Quran dan As-sunnah. Ini juga pesanan oleh para ilmuan dan doktor-doktor di kuliah syariah,Universiti Yarmouk.
Bahasa arab merupakan bahasa yang terawal ketika kemunculan tamadun manusia di muka bumi. Bahasa arab merupakan bahasa yang sangat unik kerana setiap hurufnya mempunyai keistimewaan dan mukjizatnya tersendiri dan kaya dengan pelbagai perkataan. Bahasa arab juga menyaksikan kemunculan rasul yang terakhir iaitu Nabi Muhammad SAW yang diutuskan oleh Allah SWTdaripada kalangan bangsa arab dalam menyampaikan risalah tauhid kepada umatnya. Kerana itu, al-Quran diturunkan di dalam bahasa arab sehingga tidak dapat ditandingi oleh penyair-penyair terkemuka pada zaman Mekah ketika penyebaran awal Islam kerana kekuatan bahasanya dan merupakan mukjizat yang terkandung kalimah dalam bahasa arab sendiri. Terdapat ayat al-Quran yang menyebut tentang diturunkan ayat-ayat al-Quran di dalam bahasa arab. Begitu juga di dalam hadis yang disebut oleh baginda SAW. Firman Allah SWT :  
انا أنزلناه قرآنا عربيا لعلكم تعقلون

Ertinya : " Sesungguhnya Kami menurunkan kitab itu sebagai Quran yang dibaca dengan bahasa arab,supaya kamu ( menggunakan akal untuk ) memahaminya " ( Surah Yusof ayat 2 )

Sepanjang berada di Markaz Lughah sepanjang satu semester dari bulan 9 sehingga bulan , banyak manfaat yang saya perolehi hasil mengikut Markaz Lughah ini. Di sini kami dibahagikan kelas mengikut mustawa atau peringkat masing-masing. Saya telah ditempatkan dalam  kelas mustawa 3ب . Di sini saya telah  mempelajari  subjek qiraah, qawaed, muhadasah, kitabah dan istima'. Setiap hari topik pelajarannya berbeza mengikut subjek yang telah ditetapkan oleh pihak Markaz Lughah. Antara guru-guru saya dan kawan-kawan saya di Markaz Lughah ialah Doktor Salim yang telah mengajar kami subjek muhadasah dan qawaed. Doktor Salim merupakan seorang guru yang baik dan seorang yang berjenaka dengan kami. Doktor juga merupakan seorang yang prihatin dan bertanggungjawab.









Selain itu, guru yang mengajar saya dan kawan-kawan sekelas juga ialah Doktor Samah yang telah mengajar kami subjek qiraah dan kitabah. Peribadi Doktor Samah lebih kurang dengan Doktor Salim. Beliau juga seorang yang berpewatakan tegas. Namun ia baik untuk saya dan kawan-kawan sekelas. Guru lain yang telah mengajar saya dan kawan-kawan yang lain ialah Doktor Hanin yang mengajar kami subjek istima'. Doktor Hanin merupakan seorang doktor yang baik, prihain,mesra dengan pelajar-pelajar, dan baik hati.




Disamping saya belajar di Markaz Lughah, pada masa yang sama saya juga mengambil subjek Kuliah Syariah di univerisiti. Pada semester pertama ini saya hanya mengambil satu subjek sahaja iaitu subjek "ulum al-Quran" yang telah diajar oleh Doktor Mansour. Beliau merupakan Doktor Qisim Usuluddin dan seorang doktor yang baik, suaranya lantang ketika mengajar kami dan antara doktor yang suka berjenaka dengan para pelajarnya. Di Markaz Lughah, saya juga memperolehi kawan-kawan baru. Mereka ini adalah kawan sepengajian dengan saya dan saya juga dapat berkenalan sesama mereka disamping menuntut ilmu di Markaz Lughah dan  di Kuliah Syariah. Alhamdulillah, banyak pengalaman baru yang saya perolehi sepanjang menuntut ilmu pada semester pertama ini. Terima kasih dan ucapan jazakumullahu kheir kepada guru-guru yang telah mengajar saya ketika semester pertama iaitu Dr Salim, Dr Samah,Dr Hanin di Markaz Lughah dan juga Dr Mansour di Kuliah Syariah. Semoga Allah membalas kebaikan dan sebaik baik ganjaran di sisiNYA kepada guru-guru saya yang telah mengajar saya ketika berada pada semester pertama ini.

Musafir 3: Bersama Ahli-Ahli Rumah

     Bulan september 2012, saya datang ke Jordan untuk menyambung pelajaran. Sampai di airport Amman ketika waktu maghrib bersama rakan-rakan lain dalam rombongan Ustazah Tasnim, kami disambut oleh senior-senior yang bertugas dalam program sambutan pelajar baru. Di situ juga saya berpisah dengan rakan-rakan yang bertolak sama-sama dari KLIA.

Perjalanan ke Irbid dengan menaiki coaster. Sepanjang perjalanan, saya dan kawan-kawan telah diberi taklimat berkenaan keselamatan oleh senior yang menyambut kami iaitu abang hafiz atau dikenali sebagai "Abe". Setelah sampai di Irbid, saya dan kawan-kawan tinggal di rumah transit sementara memasuki rumah baru. Di rumah transit, saya dan kawan-kawan lain dibahagikan mentor SPB yang terdiri oleh para senior. Antara fungsi mentor ialah membantu pelajar-pelajar baru untuk sebarang urusan bagi permulaan kehidupan  di Jordan ini. Mentor saya ketika itu ialah abang Faris Murthada.

Selang beberapa hari, Alhamdulillah saya dan kawan-kawan ditempatkan di rumah baru. Rumah pertama yang saya duduki ketika berada di Jordan ialah bangunan Abu Muhammad berhampiran Supermarket Simsimah. Saya berada di tingkat 4 dan di tingkat 4 bangunan Abu Muhammad, ia mempunyai bilik yang banyak dan hanya sesuai diuduki oleh dua orang. Ketika pembahagian ahli-ahli rumah, saya dipertemukan insan yang  baik hati iaitu Alif Afifi. Saya tinggal bersama beliau di rumah baru tersebut dan kami telah mengakad dengan sohib rumah untuk tinggal selama setahun dengan bayaran sewa rumah sebanyak 80 JD sebulan. Jika tinggal dua orang, maka  sewa rumah perlu dibayar oleh setiap orang sebanyak 40 JD sebulan. Bagi saya sangat mahal juga sewa di tingkat 4 bangunan Abu Muhammad ini kerana bayarannya tidak setimpal dengan keadaan rumah yang ditawarkan. Biliknya kecil dan mempunyai sedikit ruang dapur dan mempunyai satu tandas. Kedudukan rumah ini juga mengambil masa hampir 10 minit untuk ke masjid. Alhamdulillah saya tinggal di rumah ini hampir setahun pada tahun pertama pengajian.

Tahun kedua pengajian bersamaan tahun 2013, saya telah berpindah bersama 5 orang kawan-kawan saya ke rumah di bangunan Aqsa 1. Rumah yang kami duduki ini merupakan rumah senior pelajar-pelajar adab yang merupakan antara yang terkenal dan legend di bumi irbid. Senior yang kami duduki  rumah mereka ialah Ustaz Radhi, Ustaz Naqiyuddin dan lain-lain. Rumah mereka dikenali sebagai "bayt bujang".Di tahun kedua ini saya duduki dengan ahli-ahli rumah yang lama dan juga berlaku pertambahan ahli-ahli rumah yang baru. Ahli-ahli rumah saya ketika itu ialah Alif Afifi,Najmi Aziman, Aiman Yusof, Ameer Syazwan, dan Salman Bukhari. Di rumah ini nampak selesa sedikit dengan mempunya 4 bilik, satu ruang dapur, satu ruang tamu dan mempunyai 2 bilik air. Bayaran sewa rumah ini tidaklah mahal sangat dengan harga bayaran sewa sebanyak 200 JD sebulan.
Kedudukan rumah di Aqsa 1 juga tidak jauh daripada masjid. Di bangunan  ini juga didiami oleh ramai pelajar melayu  yang legend sehinggalah sekarang saya tinggal di bangunan Aqsa 1 dan tinggal bersama ahli-ahli rumah mengajar saya banyak perkara. Kami menamakan rumah kami iaitu " casa mohabbat ".Moga -moga pemilihan nama ini mengeratkan kasih sayang antara sesama ahli-ahli rumah kami. Di rumah ini kami membuat pembahagian bagi tugasan memasak dan saya telah ditugaskan untuk memasak pada hari ahad. Memandangkan kami mempunyai 6 orang, maka setiap hari pasti ada yang akan memasak kecuali pada hari jumaat sahaja sebagai hari cuti. Kadang-kadang kami membuat perjumpaan sesama ahli-ahli rumah atau dikenali sebagai usrah bagi membincangkan hal ehwal rumah di samping untuk kenal mengenal antara satu sama lain.

Bagi bayaran kewangan untuk rumah,setiap orang daripada kami perlu membayar sewa rumah berdasarkan jumlah sewa rumah yang telah ditetapkan. Sewa rumah sebanyak 200 JD sebulan dan dibahagikan berdasarkan bilangan ahli-ahli rumah yang tinggal berama kami. Di samping itu setiap daripada kami juga perlu membayar duit rumah sebanyak 30 JD sebulan untuk pembelian barang-barang dapur, bayaran bil air dan elektrik di samping bayaran duit sebanyak 6/7 JD untuk bayaran bil elektrik.


Antara perkara istimewa yang saya rasa sepanjang tinggal bersama ahli-ahli rumah saya yang lain di " casa mohabbat" ialah kami dapat tinggal bersama walaupun kami berbeza cara fikir, sikap, karakter dan lain-lain. Setiap daripada kami mempunyai kawan-kawan tersendiri yang sentiasa hadir dan memeriahkan rumah kami. Kadang-kadang bilik saya penuh dengan kawan-kawan saya dan kadang-kadang bilik ahli-ahli rumah saya yang lain penuh dengan kawan-kawan mereka. Di sini saya dapat mengenal insan-insan lain khususnya dalam batch saya sendiri. Walaupun saya tinggal bersama ahli-ahli rumah yang pelbagai perbezaan, namun kami boleh melakukan  aktiviti-aktiviti bersama sesama ahli-ahli rumah. Antaranya kami kemas rumah sama-sama,makan di luar bersama, sambut birthday, buat jualan bersama dan juga aktiviti-aktiviti lain. Rumah kami juga pernah membuka jualan nasi minyak dan jualan laksa kepada ahli-ahli Permai. Di samping kami belajar mencari duit, ia juga sebagai salah satu untuk merapatkan ukhuwwah sesama ahli-ahli rumah saya dan saya rasa seronok dengan suasana begini.

Setiap ahli-ahli rumah saya mempunyai kelebihannya tersendiri. Ada yang pandai masak, hebat bermain bola, suka bantu-membantu, aktif mengajar kawan-kawan lain dalam pelajaran dan banyak lagi. Dalam diam, saya juga belajar dan mengambil kebaikan daripada mereka untuk dipratikkan dalam kehidupan saya. Sepanjang saya tinggal di " Casa Mohabbat" ini juga terdapat beberapa pertukaran ahli-ahli rumah dan ada ahli-ahli rumah saya berpindah ke rumah lain disebabkan komitmen dan sebab-sebab tertentu. Namun, perpindahan mereka diganti dengan kemasukan ahli-ahli  rumah yang baru sehingga kini, bilangan ahli-ahli rumah saya seramai 6 orang termasuk saya. Alhamdulillah,secara keseluuhannya saya berasa seronok tinggal bersama ahli-ahli rumah saya.



Suatu saat, kami semua bakal pulang ke tanah air setelah tamat pengajian di Jordan ini. Saat ini, seramai dua orang ahli-ahli rumah saya telah khirij dan seorang telah pulang. Dua orang bakal tamat pengajian pada semester soifi dan tinggal saya, Wirdan dan Salman akan tamat pengajian pada semester awal tahun 2017. Insyalah.kesempatan ini, saya ingin memohon beribu kemaafan sepanjang menjadi ahli rumah kepada Alif Afifi, Najmi Aziman, Aiman Yusof, Ameer Syazwan,Wirdan, Nabil, Fadli, dan juga Salman Bukhari. Pohon maaf jika ada hak-hak sebagai ahli rumah saya tidak tunaikan dengan sebaiknya dan mohon halal apa yang saya telah ambil, makan minum dan apa-apa yang berkaitan. Terima kasih atas segala kebaikan-kebaikan yang dilakukan oleh ahli-ahli rumah saya kepada saya. Saya doakan semoga ukhuwwah kami sehingga akhir hayat meskipun nanti kami pasti akan berpisah dan mempunyai lebih banyak tanggungjawab selepas ini. Semoga kita dapat berkumpul lagi di lain hari. Jika tidak di dunia, moga-moga kita dapat berkumpul lagi di syurgaNYA. InsyaAllah. :)

Musafir 4: Berpersatuan Dalam Persatuan


عن ابن عمر : سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ الْإِمَامُ رَاعٍ وَمَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ وَالرَّجُلُ رَاعٍ فِي أَهْلِهِ وَهُوَ  مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ فِي بَيْتِ زَوْجِهَا وَمَسْئُولَةٌ عَنْ رَعِيَّتِهَا وَالْخَادِمُ رَاعٍ فِي مَالِ سَيِّدِهِ وَمَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ

“Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Setiap kalian adalah pemimpin, dan setiap pemimpin akan dimintai pertanggungjawaban atas yang dipimpinnya. Imam adalah pemimpin yang akan diminta pertanggungjawaban atas rakyatnya. Seorang suami adalah pemimpin dan akan dimintai pertanggungjawaban atas keluarganya. Seorang isteri adalah pemimpin di dalam urusan rumah tangga suaminya, dan akan dimintai pertanggungjawaban atas urusan rumah tangga tersebut. Seorang pembantu adalah pemimpin dalam urusan harta tuannya, dan akan dimintai pertanggung jawaban atas urusan tanggung jawabnya tersebut.”  (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Saya mulakan tulisan dalam warkah ini dengan sebuah hadith di atas berkenaan tanggungjawab seorang pemimpin dan juga menjadi asas kepada  saya  untuk melatih diri dengan sifat kepimpinan dalam diri.
Kali ini saya ingin menceritakan penglibatan saya dalam persatuan di Jordan sebagai kenangan apabila sudah mempunyai isteri, anak-anak dan keluarga nanti pada masa akan datang. Antara kenangan manis ketika menuntut ilmu di Jordan yang saya tidak boleh saya lupakan juga ialah keterlibatan saya di dalam berpersatuan. Dengan berpersatuan, banyak manfaat dan kebaikan yang saya perolehi. Saya teringat ketika di sekolah dahulu, saya adalah seorang pemalu, tidak pandai bercakap di hadapan orang ramai, tidak berkeyakinan dan lain-lain lagi kekurangan yang menyelubungi diri ini. Alhamdulillah, tibanya di bumi Jordan untuk menuntut ilmu di samping berpersatuan, saya dapat buang sedikit perasaan malu tersebut dan berkeyakinan untuk bercakap di hadapan orang. Meskipun saya akui, masih ada kekurangan dan perlu kepada pembaikian dari semasa ke semasa. Ayah saya juga berpesan kepada saya " buat kebaikan jangan malu, tetapi perlu mempunyai sifat malu apabila membuat keburukan". Saya pegang kata-kata ayah tersebut sehingga kini.

KEPELBAGAIAN PERSATUAN DI JORDAN

Di Jordan, terdapat banyak persatuan. Daripada sekecil-kecil organisasi sehinggalah sebesar-sebesar organisasi. Bermula dengan "Majlis Perwakilan Mahasiswa Jordan (MPMMJ) " sebagai persatuan induk diikuti dengan " Persatuan Zon" yang terdiri daripada PERMAI,PRISMA,PPMA,&PERMATA. Kemudian terdapat juga " Badan Kebajikan Anak Negeri yang dikenali sebagai BKAN yang terdiri daripada 14 buah BKAN dan diikuti pula kelab-kelab di bawah persatuan MPMMJ. Dibawah persatuan zon, terdapat pula JKK yang merangkumi pelbagai tugasan demi kebaikan ahli-ahli persatuan tersebut. Tidaklah wujudnya persatuan-persatuan ini melainkan mempunyai objektif dan matlamatnya tesendiri demi kemaslahatan dan kebaikan ahli-ahli persatuan.

KITA DAN KEPIMPINAN

Di dalam Islam, aspek  kepimpinan adalah sangat luas dan diberi perhatian sehingga Rasulullah SAW menganjurkan agar dilantik seorang pemimpin walaupun dalam kumpulan yang kecil. Sepertimana sabda Baginda SAW: "Apabila tiga orang keluar bermusafir, maka hendaklah dilantik seorang daripadanya  sebagai ketua". Terdapat pelbagai istilah yang dikaitkan dengan kepimpinan dalam islam seperti "khilafah, imamah, qiyadah, za'mah, ria'yah, ria'sah, siadah ".(1)

kepimpinan  dari perspektif Islam bukan sahaja terhad kepada golongan  pemimpin-pemimpin tertingga negara, tetapi juga apa yang perlu kita fahami bahawa setiap daripada kita adalah pemimpin. Jika kita tidak mampu memimpin masyarakat atau sesebuah organisasi yang sangat besar, kita perlu sedari bahawa kita bertanggungjawab memimpin diri kita sendiri. Antaranya dengan  memimpin diri kita melaksanakan segala perintah yang Allah SWT dan meninggalkan setiap perkara yang dilarang olehNYA. Kemudian hierarki kepimpinan meningkat tahap demi tahap-bermula daripada diri kita sendiri, seterusnya keluarga, seterusnya masyarakat sehinggalah negara. Dalam semua peringkat kepimpinan ini, pemimpin bertanggungjawab penuh terhadap pengikut-pengikut atau orang yang dipimpinnya. Lebih tinggi kedudukan kepimpinan seseorang, lebih tinggilah amanah yang mesti dipikul olehnya.(2)

CABARAN MELAKSANAKAN TANGGUNGJAWAB KEPIMPINAN

Kepimpinan mengikut perspektif Islam bukanlah satu kedudukan yang boleh dianggap istimewa atau perlu direbut-rebut kerana ia sebenarnya lebih bersifat amanah. Rasulullah SAW pernah mengingatkan Abu Dzar al-Ghifari yang memohon diberi suatu jawatan mentadbir wilayah Islam. Baginda bersabda yang bermaksud : " Sesungguhnya kepimpinan itu adalah atu amanah. Pada hari kiamat ia merupakan kehinaan dan penyesalan kecuali bagi mereka yang menunaikan amanahnya dengan sempurna seperti yang telah dipertanggunjawab."(3)

Amanah menunaikan tanggungjawab bukan sahaja terhenti kepada menyempurnakan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya kepada pengikut-pengikut, tetapi yang lebih penting dilihat oleh Islam ialah menyempurnakan amanah kepada Allah SWT. Ibnu Taimiyyah menekankan bahawa kriteria penting dalam melantik seorang pemimpin mengetuai sesuatu jawatan ialah memastikan mereka mempunyai dua sifat penting iaitu " quwwah "( keupayaan mentadbir dan mengurus ) dan amanah. Pemimpin yang sentiasa menjaga amanah kepimpinannya akan memiliki rasa tanggunjawab yang tinggi dan seterusnya mendorong dia mengambil berat apa yang benar-benar berlaku kepada pengikutnya.

Sebagai contoh, Saidina Umar RA digambarkan sering memeriksa kehidupan rakyatnya. Adakalanya di waktu malam untuk mendapatkan informasi yang benar dan direct tanpa bergantung kepada laporan pegawainya semata-mata. Dengan informasi demikian, beliau dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi dengan secepat mungkin.(4)
Berbalik kepada berpersatuan di dalam persatuan, terdapat banyak kelebihan apabila kita terlibat dalam persatuan terutama ketika dalam tempoh kita sedang belajar di universiti.

Dengan berpersatuan, kita dapat berkenalan antara satu sama lain dan kita akan mempunyai ramai kawan yang terdiri daripada pelbagai latar belakang. Kita juga dapat mengasah  kemahiran yang terdapat pada diri kita di samping dapat bertukar idea sesama kawan-kawan ketika di dalam mesyuarat. pada masa yang sama,kita juga dapat belajar banyak benda yang kita tidak dapat ilmu tersebut di bilik-bilik kuliah.sebaliknya kita akan dapat ilmu tersebut melalui pengalaman kita berpersatuan.

Berpersatuan bukan menjadi alasan kepada kita untuk tidak  focus menuntut ilmu semata-mata, tetapi berpersatuan juga merupakan satu nilai tambah dalam diri kita. Berpersatuan bukanlah lesen dan penyebab kita untuk gagal dalam pelajaran, tetapi dengan berpersatuan, kita perlu mengurus masa kehidupan kita dengan bijaksana. Setiap masa dalam kehidupan, kita perlu susun dengan sebaiknya dan bertindak mengikut prioriti dan keutamaan. Kita tidak akan membiarkan masa kosong dan lapang kita  dengan perkara-perkara yang tiada manfaat apabila kita sibuk dengan komitmen dan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada kita. Setiap masa adalah berharga bagi kita.

Saya juga melihat ramai kawan-kawan sekeliling saya  yang terlibat dalam persatuan. Mereka mempunya rekod yang baik dalam pelajaran. Ada yang mempunyai muaddal " mumtaz" dalam akademik. Satu contoh dan qudwah yang sangat baik yang boleh kita ambil untuk dijadikan semangat dan pencetus motivasi dalam kehidupan kita.Satu aspek yang saya kagumi dengan kawan-kawan yang terlibat dengan persatuan di Jordan ialah " kerelaan dan pengorbanan". Berpersatuan bukan untuk mencari nama dan kemasyhuran,tetapi berpersatuan menuntut  kepada pengorbanan, kerelaan dan keikhlasan hati dalam menyumbang. Bukan semua orang ingin terlibat dalam gerak kerja berpersatuan,tetapi saya kagum dengan kawan-kawan yang menyumbang dalam apa-apa gerak kerja dalam berpersatuan  dengan rela hati dan keikhlasan. Mereka berkhidmat dalam  berpersatuan tanpa gaji dan upah. Sebaliknya mereka yang perlu berkorban masa, tenaga serta wang ringgit apabila terlibat dengan persatuan.

Mereka ingin menyumbang dan berkhidmat kepada komuniti demi kebaikan dan faedah yang diperolehi bersama ahli-ahli. Saya melihat kawan-kawan saya terlibat dengan pelbagai gerak kerja dalam persatuan dan pelbagai program. Dari sekecil-kecil jawatan sehinggalah ke peringkat tertinggi jawatan yang terdapat dalam perstuan. Semoga Allah mengurniakan mereka sebaik-baik ganjaran dan menerima segala amalan kebaikan yang mereka lakukan. Yakinlah, setiap pengorbanan kita akan diganti oleh Allah SWT dengan ganjaran yang lebih baik sutu ketika nanti.

SAYA DAN PERSATUAN

Permulaan saya terlibat di dalam berpersatuan ketika di tahun satu pengajian. Ketika itu, saya ingat lagi saya menjadi ajk kepada ajk senior bagi JKK Perumahan dan Penempatan Permai. Apabila ada ahli-ahli Permai yang ingin pindah rumah, saya turut terlibat sekali. Ketika  itu kebanyakannya rumah yang kami tolong pindahkan ialah rumah akhowat. Seterusnya saya terlibat dalam persatuan sehinggalah pada tahun 4 pengajian. Antara amanah yang saya pegang ada yang berbentuk sesi dan ada juga yang berbentuk program. Saya banyak belajar daripada berpersatuan ini. Antaranya matlamat yang saya letak ketika berpersatuan juga ialah sebagai wasilah untuk memperbaki diri, menambah ilmu dan pengalaman serta untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT disamping melatih sifat kepimpinan.

Banyak kenangan manis dan pahit apabila terlibat di dalam persatuan di Jordan ini. Berikut saya ingin kongsikan gambar-gambar saya bersama kawan-kawan di dalam satu team gerak kerja berpersatuan ketika menuntut ilmu di Jordan ini. Semoga semangat untuk menyumbang ini bukan terhenti di sini sahaja, sebaliknya dapat menyumbang di Malaysia pula nanti. InsyaAllah.Kesempatan ini,saya ingin ucapkan terima kasih kepada semua kawan-kawan dan rakan-rakan sekerja yang telah berkerja bersama saya di dalam apa-apa organisasi persatuan ini. Terima kasih di atas peluang yang diberikan. Saya ingin memohon maaf salah atas segala kesilapan dan kekurangan daripada insan kerdil ini. Semoga Allah terima amal kebaikan kita semua.amin.

Akhirnya, saya berharap setiap daripada kita semua dapat sama-sama saling bantu membantu sesama ahli-ahli komuniti kita serta  bersatu dibawah persatuan yang ada meskipun kita berada dibawah payung yang berbeza dan latar belakang yang pelbagai. Semoga  Allah rahmati kesatuan yang kita bina di bumi syam ini.

Antara amanah-amanah lain yang saya terlibat juga ialah :

1) Ajk Biro Ekonomi Bkapj bagi mantiqah irbid
2) Naqib Pintar sesi 2014/2015
3) Ajk Persegaran program GOAL Tahun 2013
4) Ajk TTK & Teknikal Program Konvokesyen Nuqaba Tahun 2016

*Rujukan no 1,2,3,4 : Kepimpinan Islam : Konsep dan Amalannya oleh Nurhelmi bin Haji Ikhsan

Musafir 5 : Suasana Universiti Yarmouk

" Merantaulah,
Orang berilmu dan beradab tidak diam beristirehat di kampung halaman,
Tinggalkan negerimu dan hidup asing (negeri orang).

Merantaulah,
Kau akan dapatkan pengganti dari orang-orang yang engkau tinggalkan (kerabat dan kawan),
Berlelah-lelahlah, manisnya hidup terasa setelah berjuang.

Aku melihat air menjadi rosak kerana diam tertahan,
Jika mengalir menjadi jernih, jika tidak akan berkeruh menggenang.

Singa jika tak tinggalkan sarang, tak akan dapat mangsa,
Anak panah jika tak tinggalkan busur, tak akan kena sasaran.

Jika matahari di orbitnya tak bergerak dan terus diam,
Tentu manusia bosan padanya dan enggan memandang.

Biji emas tidak ada bezanya dengan tanah biasa di tempatnya (sebelum ditambang),
Jika biji emas memisahkan diri (dari tanah) barulah ia dihargai sebagai emas murni.

Kayu gaharu tidak ubahnya seperti kayu biasa jika di dalam hutan,
Jika gaharu itu keluar dari hutan,berubah mahal seperti emas. "

Petikan sebahagian syair oleh Imam Syafie untuk kita sama-sama renungi.
~~~
Alhamdulillah, Allah kabulkan hajat di hati saya untuk menyambung pelajaran di luar negara khsususnya di negara Timur Tengah. Saya teringat ketika saya berada di tingkatan 3 ketika bersekolah di Maahad Tahfiz Anak Yatim Darul Fuqaha. Ketika itu  saya ditanya oleh Kru Astro Oasis dalam penggambaran rancangan " Madrasah Salasilah " tentang tempat yang saya ingin menyambung pelajaran selepas ini. Lalu saya memberitahu bahawa saya ingin menyambung pelajaran ke negara Timur Tengah samada negara Mesir, Jordan, atau Arab Saudi.

Selepas mendapat keputusan peperiksaan SPM, saya memilih  untuk menyambung pelajaran ke Jordan selepas mendapat galakan daripada pihak sekolah. Lalu, perjalanan diatur disamping bertindak seiring dengan usaha agar cita-cita untuk menuntut ilmu di luar negara dapat realisasikan.

Alhamdulillah, kini saya berada di tanah syam ini khususnya saya dapat menuntut ilmu dan menjalani kehidupan sebagai seorang pelajar di Universiti Yarmouk bersama sahabat-sahabat di sini. Perasaan gembira di hati tidak mampu diungkapkan kerana dapat menyambung belajar di sini serta dapat menggembirakan ibu bapa saya, guru-guru, pihak sekolah dan masyarakat-masyarakat khususnya orang-orang kampung saya. Hanya kalimah syukur mampu dilahirkan dan dipanjatkan kepada Allah SWT  kerana Dia telah mengurniakan nikmat untuk menuntut ilmu di luar negara.

Dalam penulisan kali ini, saya ingin berkongsi serba sedikit tempat saya dan sahabat-sahabat saya menuntut ilmu di sini iaitu Universiti Yarmouk. Kebayakannya saya ingin berkongsi gambar-gambar yang saya sempat ambil ketika hari sabtu yang merupakan cuti mingguan di Jordan. Walaupun saya percaya kawan-kawan sudah sentiasa melihat suasana di Universiti Yarmouk. Namun, saya berfikir suatu hari nanti tempat ini pasti saya dan kawan-kawan akan rindui selepas kita tamat belajar di sini. Oleh itu, saya menulis ini sebagai kenangan untuk hari-hari mendatang. Biarlah jasad tiada di sini selepas tamat belajar disini, tetapi saya harap hati tetap akan merindui tempat belajar ini. Rindu kepada para doktor, suasana kehidupaannya, masyarakatnya. Sungguh, menuntut ilmu di luar negara adalah satu peluang hanya datang sekali seumur hidup. Jadi peluang ini saya perlu digunakan dengan sebaik-baiknya dengan mencipta banyak kenangan di sini seterusnya dapat memberi manfaat kepada diri ini dan juga kepada kawan-kawan. InsyaAllah.

KENALI UNIVERSITI YARMOUK

Universiti Yarmouk telah ditubuhkan pada Jun 1976 oleh DiRaja Decree, dan ia terletak di bahagian utara Jordan iaitu sebuah kawasan yang memiliki kadar populasi yang tinggi dan ianya terletak di tengah-tengah pertemuan jalan yang menghubungkan Jordan, Syria, Turki dan Eropah malah meluas hingga ke selatan Aqabah.sebanyak 17 kuliah pengajian yang terdapat  di Universiti Yarmouk ini. Di bawah setiap kuliah pula terdapat pelbagai bidang pengajian/takhasus yang  menjadi tumpuan pelajar-pelajar dari negara Jordan sendiri serta pelajar-pelajar antarabangsa.

Antara kuliah-kuliah yang terdapat di sini ialah Kuliah Seni, Kuliah Sains, Kuliah Ekonomi & Sains Pentadbiran, Kuliah Adab, Kuliah Syariah & Pengajian Islam, Kuliah Pendidikan, Kuliah  Fizik, Kuliah  Tekonologi Maklumat & Sains Komputer, Kuliah Arkeologi & Atropologi, Kuliah Pelancongan & Pengurusan Hotel, Kuliah Komunikasi Massa, Kuliah Farmasi, Kuliah Perubatan, Pusat Bahasa, dan lain-lain lagi.



Di sini juga menawarkan pelbagai peringkat pelajaran. Antaranya peringkat belajar di Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana (Master) dan juga sehingga peringkat PHD. Kemudahan -kemudahan juga turut disediakan seperti masjid, perpustakaan, kedai makan, markaz sihhi, padang bola, bangunan urusan pelajar-pelajar, pejabat pendaftaran dan sebagainya.
Masjid Jami'ah yang dikenali sebagai Masjid Nuh al-Qudhah
Perpustakaan Universiti Yarmouk


Logo Buku di hadapan Perpustakaan

Syuun Tholabah-Pejabat untuk urusan para pelajar seperti urusan kad pelajar,
 urusan konvokesyen dan lain-lain

Kedai yang terdapat di depan pejabat Syuun Tholabah

Antara cafe yang terdapat di dalam Universiti Yarmouk. Di sini antara tempat tumpuan
para pelajar untuk membeli makanan dan minuman ketika waktu rehat

Bangunan kuliah antara kuliah pula kebanyakannya dipisahkan oleh jalan-jalan utama universiti dan ladang pohon zaitun. Pemandangan dalam Universiti Yarmouk  juga adalah cantik bagi saya terutamanya ketika waktu cuti mingguan dan ketiadaan pelajar-pelajar. Pada waktu itu adalah peluang  terbaik untuk melawat dan melihat keindahan tempat belajar ini.

Logo Universiti Yarmouk

Laluan yang menghubungkan Kuliah ke Kuliah


Ladang Zaitun

Bnagunan baru yang mengandungi dewan kuliah 

KULIAH SYARIAH & PENGAJIAN ISLAM

Di sini tempat kami menimba ilmu iaitu Kuliah Syariah & Pengajian Islam. Ia menjadi tumpuan oleh pelajar-pelajar Malaysia dan juga pelajar-pelajar dari Asia Tenggara yang menyambung pelajaran di Jordan ini. Di sini, majoriti para pelajar mengambil bidang pengajian Ekonomi dan Perbankan Islam, Feqh Wa Usuluh, Usuluddin, serta Dirasat Islamiyah. Di kuliah ini, kami belajar mengikut bidang pengajian masing-masing. Manakala suasana belajar di kuliah syariah pula berbeza daripada kuliah-kuliah yang lain yang terdapat di universiti ini. Ketika di dalam kelas, para pelajar lelaki perlu berada di barisan hadapan manakala para pelajar wanita perlu berada di belakang. Di sini terdiri daripada ramai doktor yang hebat dan pakar. Tidak lupa juga, di sini terdapat peluang bagi kami untuk berjumpa dan bermuamalah bersama sahabat-sahabat daripada negara-negara  yang lain seperti pelajar-pelajar Palestin, Ghana, Arab Saudi, Yaman, dan sebagainya.





Ruang dalam kelas di Kuliah Syariah

KULIAH ADAB

Kuliah yang menjadi tempat tumpuan kedua oleh para pelajar Malaysia selepas Kuliah Syariah & Pengajian Islam. Dibawah Kuliah Adab terdapat juga pelbagai takhasus/bidang pengajian. Di sini para pelajar Malaysia kebanyakannya mengambil bidang pengajian " اللغة العربية وادابها".

Kuliah Adab dan Lughah

REBUT PELUANG SEBELUM TERLAMBAT

Ya, masa muda adalah peluang terbaik untuk kita merebut peluang yang ada di hadapan kita terutamanya peluang untuk menuntut ilmu dan menambah bekalan amalan untuk persiapan hari akhirat. Kesedaran perlu sentiasa dipupuk di dalam diri kita disamping mempunyai motivasi untuk terus semangat menuntut ilmu. Melihat kepada peluang menuntut ilmu di Jordan ini, terdapat pelbagai kelas-kelas pengajian di dalam universiti mahupun di luar universiti di samping terdapat pelbagai doktor-doktor universiti yang pakar dan hebat dalam bidang masing-masing. Di sini juga terdapat ramai  para alim ulama untuk kita mengambil peluang menuntut ilmu bersama mereka.

Pada masa yang sama, kita juga digalakkan untuk menimba ilmu berkaitan softskill dan kemahiran yang dapat menambah kualiti diri kita. Antaranya terlibat di dalam persatuan dan program, bergaul dengan masyarakat dan belajar menyelesaikan masalah yang semuanya saya fikir ia adalah salah satu proses belajar untuk menghilangkan kejahilan di dalam diri kita. Saya doakan semoga saya dan kita semua diberi kekuatan, semangat, hidayah dan petunjuk oleh Allah untuk kita terus menuntut ilmu sementara kita masih berada di Tanah Syam ini. Semoga Allah permudahkan urusan kita semua.Ameen.


Majlis Konvokesyen pada bulan 7 tahun 2017

Musafir 1: Kembara Ilmu Ke Jordan

Kembara ilmu saya ke Jordan bermula selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia  (SPM) pada akhir tahun 2011.Kemudian, saya telah di...